"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Hasan: Saya rela dipecat

Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali berkata beliau sanggup dipecat jika diminta melepaskan jawatannya berhubung kontroversi serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas majlis di sebuah gereja beberapa hari lalu.

hasan ali umno pas selangor talk quality hotel 300708 05Mingguan Malaysia melaporkan Dr Hasan sebagai berkata, beliau sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika diminta melepaskan jawatan sebagai exco kerajaan negeri dan apa-apa jawatan sekali pun "demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."

Dalam satu kenyataan Khamis lalu, Dr Hasan berkata JAIS melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya Rabu lalu kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.


Bagaiamanapun, presiden Majlis Gereja Malaysia Thomas Philip menyangkal dakwaan bahawa kumpulan Kristian menggunakan kerja-kerja kebajikan untuk mendorong orang ramai menganut agamanya.

Dr Hasan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu memberitahu Mingguan Malaysia demikian sebagai mengulas tulisan terbaru blog ahli parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin bertajuk 'Genggam Bara Api!'

Zulkifli dalam tulisannya yakin Dr Hasan akan digugurkan daripada jawatan Exco Kerajaan Selangor ekoran tindakannya menyokong JAIS menyerbu sebuah gereja Methodist yang dikatakan menjalankan kegiatan dakwah terhadap orang Islam di Damansara Utama baru-baru ini.

Menurut Dr Hasan, beliau telah memperjuangkan isu mengenai umat Islam di Selangor sejak dulu lagi, terutamanya berhubung isu penjualan arak di Shah Alam.

"Jika sesiapa pun yang percayakan kepada soal keharmonian beragama, maka soal kesucian agama Islam tidak boleh diganggu-gugat sama sekali dan itulah yang saya perjuangkan, adakah itu salah?" katanya dalam laporan Mingguan Malaysia itu.

Bagaimanapun, Dr Hasan enggan mengulas lanjut tentang isu gereja itu kerana mematuhi arahan tutup mulut oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) PAS akan meneliti isu serbuan ke atas gereja tersebut dalam mesyuarat bulanan hari ini di mana dr Hasan dijangka menjelaskan perkara itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: