"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serbuan Gereja Dan Tanyalah Ustaz

Zolkharnain Abidin

‘SERBUAN’ JAIS
Kisah ‘serbuan’ JAIS ke atas sebuah ‘gereja’ di Selangor sehari dua ini memanaskan balik isu-isu agama. Bagi golongan yang merasa dirinya pembela agama tegar, tindakan JAIS disokong penuh dengan alasan mempertahankan aqidah umat Islam. Sementara satau pihak lagi yang agak liberal melihat tindakan JAIS itu wajar ‘dilihat’ semula kerana tindakan itu telah mencalarkan imej Islam dimata penganut agama Kristian negara ini.

Entahlah. Situasi yang dihadapi ini memang sukar ditemui noktah penentunya. Sejauh mana aqidah Islam terbela, atau sejauh mana pula imej Islam tercalar, sukar untuk dinilai.

Apa yang pasti, kedua-dua pihak mempunyai rasa kasih kepada Islam dan umatnya. Bagi yang beralasan tindakan itu sebagai membela aqidah Islam, tindakan mereka dikira kasihkan Islam. Sementara bagi yang menganggap tindakan itu memalitkan imej negatif kepada Islam, itu juga kerana kasihkan Islam.

Cuma saya teringatkan analogi yang dibuat oleh al-Marhum Datuk Fadhil Noor. Sayangkan apa pun, jangan jadi seperti seseorang yang sayangkan kasut barunya. Dibungkusnya kasut itu rapi-rapi kemudian disimpannya di atas para, tidak dipakainya.

Atau, jangan jadi seperti seorang yang sayangkan al-Quran, dibungkusnya al-Quran itu rapi-rapi dan diletakkan di atas alang supaya tidak dilangkah.

Natijahnya, kasut menjadi buruk tanpa sempat dipakai dan al-Quran pula menjadi seperti ‘buku’ klasik yang tidak bernilai.

TANYALAH USTAZ
Rancangan ini bagus. Sokongan patut diberikan supaya ia diteruskan bahkan apa-apa kelemahan yang mungkin wujud wajar diperbaiki. Sangat besar manfaatnya kepada umat Islam apabila mereka berpeluang untuk bertanya secara langsung dengan ustaz mengenai masalah agama yang dihadapi. Dalam masa yang sama jawapan kepada soalan itu dapat dikongsikan dengan jutaan penonton lain yang mungkin mempunyai masalah yang sama tetapi malu bertanya.

Namun begitu, suatu hal yang tidak boleh dipandang remeh ialah, rancangan itu adalah rancangan berkaitan hukum hakam dalam agama Islam. Persoalan hukum bukan boleh dipandang remeh dan ditangani secara sebarangan. Sumber ambilannya mesti jelas dan berwibawa, bukan boleh keluar secara spontan dari kepala penjawab sahaja.

Negara kita tidak kurang mereka yang berwibawa tinggi dari sudut ilmu dan pengalaman. Perkara yang patut diambil kira dalam kewibawaan juga ialah usia. Semakin berusia seseorang itu semakin mantap penguasaan ilmunya dan diyakini kata-katanya.

Justeru, rancangan tanyalah ustaz tidak boleh berpuashati dengan penampilan ustaz-ustaz muda sahaja. Kewibawaan mereka terbuka untuk dipersoalkan. Para ulamak / mufti seperti Dr Mahmud Zuhdi, Datuk Sri Hasan Ahmad (mufti PP), Datuk Badaruddin Ahmad (mufti Kedah), Datuk Hashim Yahya (bekas mufti WP) dan banyak lagi sepatutnya ditampilkan dalam rancangan langsung sebegitu.

Mengapa mereka tidak ditampilkan? Mereka tidak dijemput atau mereka tidak mahu? Kalau mereka tidak mahu, maknanya rancangan tanyalah ustaz dalam format yang ada itu tidak dpersetujui oleh mereka. Penganjur perlu memikirkan format lain.

Apa pun rancangan itu perlukan pembaikan. Apa yang berjalan sekarang menimbulkan rasa kurang selesa sebahagian bahkan sebagagian besar orang terutama mereka yang memahami hukum hakam agama.

Tiada ulasan: