Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 9 Ogos:Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memohon perintah mahkamah ke atas 12 indvidu beragama Islam yang menghadiri majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama, Rabu lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jais, Sharom Maarof berkata perintah mahkamah akan dipohon dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan kesemua mereka tampil memberikan keterangan.
Jelas beliau, pihaknya akan membuat permohonan di Mahkamah Syariah.
“Kita telah meminta kesemua 12 individu ini agar hadir di pejabat (Jais) memberikan keterangan tentang kehadiran mereka dalam majlis itu tapi sehingga kini mereka tidak menghadirkan diri dan saya difahamkan mereka dinasihatkan peguam masing-masing supaya tidak hadir.
“Kita akan mohon perintah mahkamah ini dalam tempoh terdekat, kita hanya mahu mereka memberikan keterangan dan membantu siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Jelas Sharom, sekiranya kesemua 12 individu itu tetap enggan menghadirkan diri walaupun perintah mahkamah dikeluarkan kelak, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk memohon perintah tangkapan terhadap mereka.
“Kita akan pohon supaya mereka hadirkan diri ke pejabat untuk memberikan keterangan dan kalau mereka tetap enggan hadir, kita mungkin akan dapatkan perintah menahan ke atas mereka,” katanya.
Tambah beliau, kesemua 12 individu yang ditahan semasa serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama dekat Petalin Jaya Rabu lalu rata-rata berasal dari Selangor.
“Ramai dari Selangor tapi ada juga dari luar,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan hasil siasatan Jais mengenai kontroversi serbuan itu.
Kira-kira 30 anggota polis dan Jais memasuki premis gereja tanpa waran kira-kira 10 malam, Rabu lalu.
Majlis itu dihadiri antara 100 hingga 120 orang dari pelbagai kaum.
Dalam serbuan itu, Jais dilaporkan telah memeriksa 12 individu beragama Islam yang turut hadir dalam program anjuran Harapan Komuniti.
Tindakan Jais itu mendapat kritikan banyak pihak.
Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam.
Beliau menegaskan maklumat yang diterima menunjukkan terdapat kehadiran orang Islam pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.
Tambah beliau, pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “al-Quran” dan “doa” atau “pray” diselitkan.
Hasan menambah seramai 12 orang beragama Islam itu disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.
Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan