"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ambil tindakan tegas terhadap pengugut Md Sabu

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Ahli Parlimen Seputeh dan Setiausaha Organisasi DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji pihak yang menghantar SMS mengugut akan simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.


Teresa Kok (gambar) dalam satu kenyataannya berkata, mereka yang menghantar SMS ini menunjukkan diri mereka tidak berkebolehan membahaskan isu-isu yang dibincangkan secara matang, sabar dan rasional.

Lebih teruk lagi, tindakan mereka menunjukkan mereka bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup mencederakan mereka yang tidak bersalah.

Mohamad Sabu mendakwa menerima SMS ugutan yang mengancam mahu menyimbah asid terhadap isteri dan anak perempuannya.

Katanya, kiriman SMS itu diterima semalam dan beberapa hari lalu daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau menyifatkannya sebagai ancaman berat yang diterimanya berpunca daripada laporan Utusan Malaysia pada 27 Ogos berkaitan Mat Indera, tragedi Bukit Kepong dan sejarah kemerdekaan yang didakwa memfitnahnya.

Ekoran itu, Teresa menggesa agar orang ramai diberi kesedaran bahawa ugutan nyawa sebegini bukan perkara kecil tetapi merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Seksyen 503 dan 503 di bawah Kanun Keseksaan.

"Saya menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk segera siasat dan tangkap mereka yang bersalah agar menghantar mesej yang tidak berbelah kepada mereka bahawa apa yang telah dilakukan itu adalah suatu jenayah.

"Jika tidak, penjenayah akan berfikir mereka bebas melakukan jenayah tanpa sebarang hukuman," kata Teresa dalam kenyataannya.

Beliau juga menggesa PDRM untuk mengambil setiap langkah yang sewajarnya untuk menjamin keselamatan Muhamad Sabu dan keluarganya.

Tiada ulasan: