Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Sept: Umno Pulau Pinang didakwa sengaja 'menyorokkan' satu lagi resit pembayaran kos rawatan kecederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagi meneruskan agenda fitnah mereka ke atas kerajaan Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam berkata, terdapat dua resit yang dikeluarkan oleh Hospital KPJ Selangor untuk bayaran rawatan pembedahan lutut Mohamad yang cedera dirempuh kereta polis semasa dalam perjalanan menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Kedua-duanya adalah resit kos hospitaliti dan satu lagi resit kos konsultansi yang masing masing berjumlah RM5,060.54 dan RM3,373.50.
Sehubungan itu jumlah keseluruhan kos perubatan Mohamad yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang adalah berjumlah RM8,434.05 yang sepenuhnya ditanggung PBA.
Bagaimanapun ujarnya, hanya satu resit didedahkan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican manakala satu lagi seperti sengaja disembunyikan.
“Sebenarnya ada dua resit, tapi dia (Reezal) hanya tunjuk satu resit sahaja sebab berhati busuk…saya yakin ini semua telah diatur, ini semua fitnah (Umno),” ujar beliau pada sidang media semalam.
Turut serta pada sidang media itu, Pengurus Besar PBA Ir Jaseni Maidinsa.
Jaseni berkata, tidak berlaku sebarang salah guna kuasa dalam isu tersebut malah pembiayaan kos perubatan untuk Mohamad selaku ahli lembaga pengarah itu dibuat secara telus dan profesional.
Menjawab kewajaran PBA membiayaai rawatan terhadap Mohamad itu, beliau berkata ianya sebagai tanggungjawab korporat memandangkan Mohamad perlu menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PBA pada 19 Ogos lepas.
“Inilah keprihatinan kami (PBA), inilah ‘manfaat perubatan’, ini adalah keputusan korporat.
“Sesetengah syarikat korporat ada yang menghantar ahli lembaganya pergi bercuti, tetapi ini tidak berlaku (dalam PBA),” ujar beliau.
Umno yang kini pembangkang di Pulau Pinang sebelum ini mempersoal tindakan PBA membiayai kos rawatan Mohamad yang didakwa tidak wajar kerana cedera akibat menyertai himpunan haram, sedangkan kecederaan itu berlaku sebelum himpunan berlangsung.
Dengan hanya mendedahkan resit kos hospitaliti berjumlah RM5,060.54, mereka juga mendakwa berlaku penyelewengan pembayaran itu kerana jumlah bayaran yang dibuat PBA lebih tinggi iaitu berjumlah RM8,434.05.
Padahal terdapat satu lagi resit kos konsultansi berjumlah RM3,373.50 yang tidak didedahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan