"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad: Jais kubu Umno di Selangor

Muhammad Faizal

SHAH ALAM, 7 Sept: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu memberi bukti jelas bahwa badan itu merupakan kubu ataupun benteng terakhir Umno dalam usaha menyekat pergerakan PAS.


Ini kerana, Jais mahu menyekat PAS dari mendekati rakyat terutamanya program keagamaan yang diadakan di masjid mahupun surau.

Khalid yang didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor semalam berkata demikian ketika mengulas tindakan Jais ke atas beliau itu.

“Saya melihat apa yang jua yang dilakukan oleh Jais ini hanyalah bermotifkan politik dan pendirian saya jelas bahawa Jais merupakan kubu Umno serta merupakan benteng terakhir mereka untuk menyekat segala pergerakkan yang dilakukan oleh PAS.

"Enakmen yang diguna pakai oleh mereka adalah yang digubal semasa pemerintahan mereka dan dengan cara ini sahajalah mereka dapat membuat apa yang mereka suka lebih-lebih lagi apabila sudah hampir dengan pilihanraya,” jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang medianya di Kuala Terengganu mendakwa Umno terlibat di belakang operasi memeriksa yang dibuat Jais ke atas gereja methodist Damansara Utama.

Ekoran itu, Umno Selangor mahu menyaman beliau dan Mustafa menjawab beliau akan memberikan buktinya dalam mahkamah nanti.

Dalam pada itu, Khalid tidak menolak Jais bukan sahaja menyekat pergerakan PAS tetapi juga ingin menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat.

“Jelas kerana semuanya bermotifkan politik dan Umno berada dalam ketakutan, mereka bukan sahaja ingin menghalang PAS tetapi juga ingin menimbulkan masalah kepada Pakatan Rakyat.

“Sepatutnya Intitusi ini bertujuan menyebarkan pengetahuan tentang Islam tetapi sekarang semuanya telah berubah mereka pula yang menghalang.

“Selama tiga tahun kita telah cuba mencorak Jais dengan pendirian Islam memerintah bukannya diperintah tetapi Jais tetap berkeras dengan pendirian lama mereka yang mahukan pentauliahan jika ingin menyampaikan tazkirah kecuali di rumah sahaja,” katanya lagi.

Khalid didakwa di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. Jika sabit kesalahan beliau boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Saya akan terus lawan untuk menegakkan Islam walaupun terpaksa hilang keistimewaan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan dengan kesalahan tersebut.

“Kalau Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup kehilangan segala-galanya dalam mencari keadilan kepada gadis Melayu sebelum ini kenapa kita ingin takut untuk menegakkan Islam.

“Dari sudut undang-undang saya akan beri kerjasama sepenuhnya dan akan bersuara jika tindakan tersebut bertentangan dengan apa yang Islam inginkan,” sambungnya lagi.

Khalid didakwa memberikan kuliah agama Islam tanpa permit ketika memberikan tazkirah Ramadan pada 16 Ogos lalu di surau Taman Seri Sementa, Kapar, Klang.

Tiada ulasan: