"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keretapi terbakar, penumpang KTM terjun gerabak

Perjalanan kira-kira 800 penumpang kereta api Ekspres Senandung Wau terlewat sejam apabila sebuah daripada 14 gerabak kereta api terbabit terbakar berhampiran Stesen Keretapi Merapoh, dekat Kuala Lipis, malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu walaupun kebanyakan penumpang terjun dari koc untuk menyelamatkan diri sebaik tren berkenaan berhenti mengejut.

Kereta api ekspres itu yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lumpur meneruskan semula perjalanan sebaik sahaja kebakaran berjaya dipadamkan, koc dipisahkan dan ditinggalkan di Stesen Keretapi Merapoh.

Gerabak yang membawa generator dan alat pendingin hawa itu disedari terbakar oleh pemandu lokomotif lalu segera memberhentikan tren sebelum menghubungi pihak bomba dan pasukan penyelamat berhampiran.

Sejurus kemudian sepasukan enam anggota bomba sukarela Kampung Merapoh berkejar ke lokasi untuk mengawal api daripada merebak ke gerabak penumpang lain sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang tiba 16 minit kemudian untuk membantu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Ahmad Zailan Maarof berkata pihaknya menerima penggilan pukul 12.11 pagi dan terus menghantar pasukan tujuh anggota penyelamat dengan sebuah jentera bomba.

"Kami mengambil masa 15 minit memadam api pada gerabak terbabit yang sebahagian besarnya hangus," katanya.

Beliau berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis menyiasat punca kebakaran dan gerabak yang terbakar masih diletakkan di Stesen Keretapi Merapoh.
-Bernama-

Tiada ulasan: