"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin: Mat Indera kuat beribadat - Azmin Ali

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gombak, Mohamad Azmin Ali menyifatkan Muhammad Indera @ Mat Indera sebagai seorang Muslim yang kuat beribadat dan amat cintakan kemerdekaan negara dan bangsanya.

Beliau sekaligus menyokong tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu @ Mat Sabu mengangkat martabat Mat Indera sebagai pejuang dan memberi penilaian yang adil kepada mana-mana pejuang kemerdekaan yang lain.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa menegaskan, sudah tiba masanya masyarakat keluar daripada kelambu penipuan media dan cendiakawan sempit oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Berbeza berbanding dengan kebanyakan pemimpin Umno-BN yang disanjung, Mat Indera merupakan seorang Muslim yang kuat beribadat, seorang hafiz dan amat cintakan kemerdekaan negara dan bangsanya.

“Cukuplah…jangan bohongi sejarah. Sudah tiba masanya kita keluar dari kelambu penipuan media dan cendekiawan sempit Umno-BN,” katanya dipetik melalui entri blog beliau hari ini.

Azmin berkata orang Melayu-Islam bingkas menolak idea pengagihan ekonomi dan sistem pengurusan yang dikemukakan ahli falsafah terkemuka seperti Karl Marx, Webber dan Engel kerana mereka dilabel sebagai komunis dan sosialis.

Tetapi konsep dan idea yang sama dihormati dan dihargai apabila ia terbit daripada pemikiran sahabat Nabi Muhammad SAW, iaitu Abu Dzar Al-Gifari dan Abdul Rahman bin Auf.

“Kenapa begitu? Menurut pemikir Islam, Sheikh Taha Jabir Alwani, ini semua persepsi yang dibina atas emosi dan prejudis. Sentimen diutamakan dan kebenaran dipinggirkan.

“Tidakkah ini sama dengan isu Mat Indera yang cuba ditonjolkan oleh Mat Sabu. Beliau mahu penilaian adil diberikan kepada Mat Indera dan pejuang kemerdekaan lain,” katanya.
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: