"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penoreh Mengamuk Bekas Isteri Enggan Rujuk

SUNGAI PETANI 9 SEPT: Seorang lelaki bersenjatakan senapang mengamuk dan mengugut mencederakan tiga anaknya setelah hasrat beliau mengahwini semula bekas isterinya ditolak wanita itu dalam satu kejadian di Kampung Teluk Wang, Sungai Pasir di sini semalam.

Bapa lelaki itu bagaimanapun berjaya mengeluarkan tiga cucunya yang berumur lima hingga 10 tahun dari rumah anak lelakinya, demikian menurut beberapa saksi, lapor Bernama Online.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Ong Aik Cheang, memberitahu pemberita di tempat kejadian malam tadi, bahawa polis yang menerima panggilan orang awam tiba di rumah lelaki itu pada 5 petang dan mengepung rumah itu.

Katanya lelaki berumur 37 tahun itu, yang bekerja sebagai penoreh getah, mengamuk sejak 3 petang apabila hasratnya mengahwini semula bekas isterinya selepas mereka bercerai tahun lepas, ditolak wanita itu.

"Kemungkinan kecewa, penoreh itu mengamuk dan mengugut mencederakan tiga anak yang diperliharanya selepas bercerai dengan isterinya dengan mengurung mereka di dalam rumahnya.

"Bapa penoreh itu bagaimanapun berjaya mengeluarkan ketiga-tiga cucunya dari rumah anaknya itu tanpa sebarang kecederaan," kata Ong.

Menurutnya penoreh itu terus tinggal dalam rumahnya dalam keadaan gelap selepas anak-anaknya dikeluarkan.

Katanya penoreh itu menyerah diri selepas polis menelefon bekas isterinya di Perlis yang datang dan memujuk beliau.

Polis memberkas penoreh itu dan merampas sepucuk senapang patah yang tidak berisi peluru daripada beliau.

"Sekotak peluru ditemui pada penoreh itu," kata Ong.

Menurutnya lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan disiasat mengikut Akta Senjata Api 1971.
-tvsnews-

Tiada ulasan: