"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Teja buat laporan SPRM terhadap menteri dan bekas menteri pengangkutan

Adun Teja buat laporan SPRM terhadap menteri dan bekas menteri pengangkutan
KUALA LUMPUR: Ahli dewan undangan negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dan bekas menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy.

Laporannya kerana menyalahgunakan kuasa dalam memberi dan mempertahankan keputusan pemberian kontrak pemasangan kamera AES (Automated Enforcement System) kepada sebuah syarikat yang bernama Beta Tegap Sdn Bhd yang dikatakan dimiliki oleh bekas pemimpin Umno.

“Pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd bernama Toh Puan Rozana binti Hj Redzuan,” katanya dalam laporan kepada SPRM.

“Arwah bapa Toh Puan Rozana adalah bekas Ketua Bahagian Umno Parit Sulong merangkap bekas Adun Peserai, Johor, Allahyarham Tan Sri Redzuan bin Haji Salim.

“Ibu kepada Toh Puan Rozana pula merupakan bekas Timbalan Ketua Wanita Umno Johor merangkap Adun dua penggal untuk Sri Medan, Johor, Puan Sri Atkah binti Abdullah.”

Menurut Chang lagi, syarikat tersebut tidak mempunyai kepakaran dalam kamera AES.

“Carian SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) Beta Tegap Sdn Bhd menunjukkan bahawa syarikat ini merupakan sebuah syarikat yang dormant.

“Syarikat ini juga tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kamera AES. Mereka hanya bergantung kepada sebuah syarikat Australia yang bernama Redflex Traffic Systems Pty Ltd dalam bidang teknikal,” kata Chang dalam laporan beliau lagi.

Seksyen 23 (1), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, “Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan”.

Dalam akta yang sama, Sekyen 23 (2) menjelaskan bahawa “…seseorang pegawai badan awam hendaklah dianggap, sehingga akasnya dibuktikan, telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, apabila dia membuat apa-apa keputusan, atau mengambil apa-apa tindakan, berhubungan dengan apa-apa perkara yang mengenainya pegawai itu, atau mana-mana saudara atau sekutunya, mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung”.

“Chan Kong Choy merupakan bekas Menteri Pengangkutan (2003-08) yang meluluskan kontrak pemasangan kamera AES kepada Beta Tegap Sdn Bhd,” katanya.

“Kong Cho Ha pula merupakan Menteri Pengangkutan sekarang, yang mempertahankan keputusan pemberian kontrak kepada Beta Tegap Sdn Bhd, walaupun telah dimaklumkan hubungan Umno dengan pemegang saham terbesar syarikat itu.

“Kedua-dua menteri ini adalah pemimpin MCA, yang mempunyai hubungan rapat dengan rakan sepakatan mereka, Umno,” kata Chang.

Tambah Chang lagi, jika bukan kerana hubungan rapat pemegang saham Beta Tegap Sdn Bhd dengan Umno, bagaimana Kementerian Pengangkutan boleh memberikan kontrak bernilai ratusan juta kepada syarikat dormant yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

“Justeru itu, saya menggesa pihak SPRM untuk menyiasat dengan adil dan mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua Tan Sri Chan Kong Choy dan Datuk Seri Kong Cho Ha, atas kelakuan mereka yang jelas melanggari undang-undang,” katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: