"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sokongan Melayu meningkat: PR dijangka memenangi 35-36 kerusi DUN Perak

Harakahdaily
(Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat yang kini mendapat sokongan besar)
KUALA LUMPUR: Hasil kajian terbaru mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini meningkat dengan ketara sekali.

Kajian yang dibuat di tiga negeri iaitu Selangor, Johor dan Perak mendapati sokongan Melayu meningkat antara 3 - 8 peratus di ketiga-tiga negeri ini.

Di Selangor, sokongan kepada Pakatan di negeri itu meningkat sehingga lebih 55 peratus di kalangan pengundi Melayu.

Sokongan Cina dan India di Selangor untuk Pakatan juga sangat membanggakan antara 60 - 75 peratus.

"Isu penting adalah kejayaan kerajaan negeri Selangor membukti pentadbiran yang cemerlang dalam semua segi," kata pengkaji itu tanpa mahu menyebut sumbernya.

Isu serangan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek terhadap Islam, rasuah dan salahgunakuasa yang semakin terdedah dalam BN, kebajikan yang diperolehi oleh rakyat dari kerajaan negeri dan sebagainya menjadi isu-isu penting di atas peningkatan ini.

Keberkesanan media kerajaan negeri Selangor, Selangorkini yang diedarkan lebih 150,000 naskah setiap minggu juga menjadi faktor peningkatan sokongan ini.

"Yang menariknya, perubahan ini akan mempengaruhi sokongan Melayu di negeri-negeri lain kerana ramai pengundi yang tinggal di Selangor adalah pengundi lain-lain negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah," kata sumber itu.

Di Johor pula, kajian yang dibuat oleh sebuah pusat pengajian tinggi pula mendapati sokongan terhadap Umno di kalangan pengundi Melayu negeri itu merosot sehingga 3 - 5 peratus.

"Saya diberitahu oleh seorang profesor, sokongan Melayu Johor kepada Umno merosot teruk berbanding pilihan raya 2008 lalu," kata Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dalam satu majlis di Batu Pahat baru-baru ini.

Selain pengundi Melayu, pengundi Cina lebih ketara berubah sokongan kepada Pakatan Rakyat iaitu sehingga 85 peratus.

"Namun kena ingat, walaupun hingga 85 peratus pengundi Cina sokong DAP di Johor, hanya 65 peratus sahaja yang akan menyokong calon PAS sehingga kini.

"Oleh itu, PAS perlu berbuat sesuatu untuk mendapat undi ini (yang sokong DAP tetapi tidak sokong PAS)," kata seorang profesor kajian politik kepada Harakahdaily.

Di Perak pula, kajian yang dibuat mendapati sokongan orang Melayu kepada Pakatan juga meningkat.

"Berdasarkan maklumat yang diberikan kepada saya, kita boleh dapat 35 - 36 kerusi DUN di Perak jika pilihan raya diadakan sekarang," kata Dr Mohamad Nor Manuty kepada Harakahdaily berdasarkan satu kajian yang dibuat di negeri itu.

Tiada ulasan: