"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz: Tak salah doa jatuhkan Umno-BN

AHMAD NORMAN ABU TALIB
Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haron Din
Nik Abdul Aziz Nik Mat memperkatakan sesuatu kepada Haron Din pada hari ketiga Muktamar Tahunan Pas ke-58, hari ini
KOTA BHARU: Pas menyifatkan tindakan mendoakan kehancuran Umno dan Barisan Nasional (BN) itu adalah sebagai sesuatu yang wajar dan bukannya kesalahan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan mendoakan parti itu hancur adalah kerana BN didakwa menolak Islam.

Dakwanya, tindakan BN menolak Islam secara jelas menunjukkan parti itu memperlekehkan agama tersebut kerana ia berkait soal akidah.

Beliau turut memberikan contoh kisah Nabi Nuh AS yang memohon kepada ALLAH SWT untuk menghancurkan kaumnya ketika itu yang tidak mematuhinya.

“Bila Umno tolak Islam apa taraf Islam? Takkan nak biar? Tak salah doa macam itu kerana dalam al-Quran sendiri menyebut mengenai kisah di zaman Nabi Nuh AS yang berdakwah tetapi ditolak kaumnya yang mempunyai pengikut dan harta banyak.

“Akhirnya Nabi berdoa supaya Tuhan musnahkan orang itu kerana sekiranya tak dimusnahkan nanti bila orang itu beranak maka anaknya pula melawannya jadi jangan tinggalkan seorang pun,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden Pas meminta doa agar ALLAH menjahanamkan Umno dan BN sebagaimana ALLAH memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab selepas solat hajat, sempena muktamar parti itu di Stadium Sultan Muhamad IV, malam kelmarin.

Dalam pada itu, Nik Aziz membidas dakwaan kononnya isu orang Melayu murtad disebabkan oleh paderi Kristian adalah tidak benar kerana ia adalah perbuatan umatnya sendiri yang menolak Islam.

Menurutnya, sekiranya seseorang itu seseorang itu menolak Islam atau orang itu jahil maka ia boleh jadi murtad.

“Bila Umno tolak Islam daripada dasarnya, agama apa Umno pakai? Agama Islam berpandukan al-Quran. Jadi dia Kristian ke Buddha ke atau tiada agama?

“Timbulnya isu murtad kononnya paderi Kristian tapi saya nak kata tidak. Yang menjadikan orang Melayu murtad kerana orang Melayu sendiri memperlekehkan Islam. Umno tolak Islam maka dia memperlekehkan Isla," katanya.

Ketika ditanya pemberita sama ada beliau menganggap Umno murtad kerana mendakwa parti itu memperlekehkan Islam, Nik Aziz berkata, soal murtad tidak kira siapa, sebaliknya sekiranya seseorang Islam itu menolak agamanya, maka dia murtad.

“Tak kira siapa pun... tak kira tok guru sekalipun, kalau murtad, maka murtadlah. Usahkan Umno, kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak Islam dengan cara hati dia mengatakan Islam tak guna maka dia murtad walaupun tiada mufti beritahu,” katanya.

1 ulasan:

Othman Ahmad berkata...

Parti/partai politik tidak ada dalam Islam. Politik (atau siasah) memang diperlukan dalam Islam tapi bukan parti politik. Politik Islam Rasulullah SAW menyatukan ummah, bukan memecah belahkan ummah. Ketika baginda Rasulullah mula memerintah, Medinah ketika itu tidak ada perlembagaan atau sebarang sistem pemerintahan. Baginda memperkenalkan sistem Khalifah berlandaskan Al Quran. Baginda tidak menerima upah/gaji, tidak disediakan istana/kediaman, kenderaan khas, malah tak ada pun kerusi khas sebagai khalifah. Baginda mendahulukan rakyat dan tak akan makan sebelum rakyatnya makan. Tidurnya pun di atas lantai. Tiada pakaian berjenama, hanya biasa saja & dijahit oleh isterinya sendiri. Pejabat baginda mentadbir negara hanyalah di masjid. Bolehkah Nik Aziz berbuat demikian?

Ketahuilah parti/partai politik diperkenalkan oleh bangsa eropah untuk mengambil alih pentadbiran negara dari kuasa raja kepada kuasa rakyat melalui pungutan suara ramai (pilihanraya). Menurut sejarah, parti politik terawal bernama Whig & Tory yg ditubuhkan di England pada abad ke 18. Sistem pemerintahan politik kemudiannya di popularkan di Amerika Syarikat bermula 1796 dan berkembang seterusnya hingga hari ini. Sistem Khalifah menjadi lupus dengan kejatuhan Empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1922 dek pengkhianatan bangsa Arab & Turki sendiri.

Syeikh Moulana Imran Hossein, seorang ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat gerakan Islam seperti Pas menyalahi tuntutan Sunnah & Al Quran apabila ia menjadikannya sebagai sebuah parti politik untuk mendapatkan kuasa melalui pilihanraya di bawah perlembagaan sekular. Malah beliau menegaskan perbuatan sedemikian adalah suatu KESALAHAN BESAR dan SYIRIK. Saya juga bersetuju dengan pendapat ini berpandukan dengan sejarah penubuhan politik dan kesannya yang dapat kita lihat kini. Waulah Hu 'Alam.

Saya kira umumnya orang keliru perbezaan politik Islam dengan parti politik Islam. Dalam Islam tidak ada parti-parti kerana ianya pasti mewujudkan puak-puak yang akhirnya mengakibatkan perpecahan dek merebut kuasa. Yang ini orang Pas kena faham!