"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita 31 tahun paling cantik?

MUHAMAD MAT YAKIM
Seumur hidup, tidak pernah saya dengar orang memuji busut. Ini kerana busut lebih kecil dan dianggap tidak menarik berbanding gunung.
Gunung memang selalu dipuji orang. Mana-mana gunung pun akan dipandang indah dan oleh sebab keindahannya itulah, ia dipuji.

Ada yang berpantun, berpuisi dan bersyair mengenai gunung. Ada juga yang bikin lagu untuknya seperti Gunung Santubong.
Orang bercinta pilih gunung sebagai lambang keindahan dan keteguhan cintanya kepada kekasih. Orang berbulan madu, pun ramai yang pilih kawasan gunung juga jika tidak mampu ke luar negeri.

Ini kerana hawa di kawasan gunung yang dingin dan nyaman boleh mengurangkan rasa malu pengantin perempuan untuk minta dipeluk atau didakap bagi mengurangkan rasa sejuk.

Saya terfikir mengenai perbandingan gunung dan busut ini tatkala membaca satu laporan mengenai wanita bahawa seseorang wanita dikatakan mencapai tahap kecantikan yang paling sempurna ketika berusia 31 tahun.

Fakta itu diperolehi daripada tinjauan yang dilakukan ke atas dua ribu lelaki dan wanita di Britain.

Hasil tinjauan itu mendapati kecantikan seseorang wanita boleh ditafsirkan bukan sahaja daripada paras rupa tetapi juga personaliti dan penampilan.

Sebanyak 70 peratus responden mentafsirkan wanita dipandang cantik apabila dia berkeyakinan atau memperlihatkan tahap keyakinan diri yang tinggi.

67 peratus daripada responden mengatakan, kecantikan bergantung pada wajah yang menawan. 47 pula peratus melihat kecantikan berdasarkan penampilan.

Tidak kurang yang berpendapat bahawa kecantikan wanita bukan terletak pada yang empunya diri, tetapi mata orang yang melihat.

Sudah faham mengapa saya mengaitkan busut dan gunung tadi?

Mengikut laporan itu, wanita yang lebih dewasa dipandang lebih cantik dan menarik berbanding wanita muda. Ada disebutkan bahawa wanita berusia awal 30an sebenarnya jauh lebih cantik berbanding wanita yang berusia 18, 19 atau awal 20an.

Saya bukan seorang pengkaji sosial. Akan tetapi daripada pengalaman sebagai lelaki yang sudah hidup selama 41 tahun, harus saya akui bahawa hasil kajian itu boleh diterima sebagai benar.

Walaupun tinjauan itu melibatkan kumpulan responden yang berbeza latar belakang budaya dan agama dengan kita, ia masih boleh dianggap benar.

Ini kerana lama sebelum laporan kajian itu saya baca, sudah ada tulisan saya yang disiarkan menyebut kelebihan wanita berusia 30an dan bagi saya, termasuk juga yang awal 40an.

Saya menilai demikian bukan kerana usia mereka yang seiring atau sebaya dengan saya – yang memungkinkan adanya tanggapan bahawa cita rasa saya terhadap wanita juga semestinya yang sama baya. Sebenarnya ini tidak ada kena mengena!

Wanita berusia 30an atau awal 40an bagi saya paling cantik kerana inilah ketikanya mereka memiliki aset hidup yang paling berharga iaitu kecantikan rupa, kematangan fikiran, keyakinan diri dan juga mungkin kemampuan ekonomi untuk melebihkan belanja bagi memanjakan diri.

Ya, jika mahu dipandang dari satu dua sudut tertentu, memanglah gadis-gadis yang berusia muda antara 19 hingga 24 tahun umpamanya, tidak boleh dinafikan mempunyai kecantikan paras rupa yang gemerlapan.

Namun bagi sesetengah lelaki yang tidak hanya memandang rupa lahiriah, mereka akan terasa kekurangan dalam pandangan mereka terhadap wanita pada usia itu, iaitu dalam isu kematangan berfikir dan mungkin juga keyakinan diri.

Paling tidak, setelah bergaul rapat, kekurangan itu yang mungkin cuba dilindungi awalnya, akan terdedah satu persatu.

Ini jarang berlaku bagi wanita yang berusia 30an ke atas, yang biasanya mempunyai cukup pengalaman dan keyakinan untuk diri mereka.

Mereka biasanya teliti dan amat berhati-hati dalam mengemudi tingkah laku dan sentiasa menuntut penghormatan yang tinggi daripada lelaki. Mereka bijak menyembunyikan apa yang mereka mahu, tidak sekali-kali meminta dan jika sekalipun apa yang mereka mahu itu cuba ditawarkan, mereka tidak akan mudah untuk terima.

Inilah yang menyebabkan mereka yang berada pada usia ini, selalu dipandang sempurna. Dan kesempurnaan inilah yang disebut orang sebagai anggun.

Tiada ulasan: