"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serangan Umno Terhadap Nik Aziz Sia-Sia Saja

Mohd Sayuti Omar
Penyangga peluru berpandu dan semua muncung senapang Umno kini berpusing kepada Tokguru Nik Aziz Nik Mat pula dalam kedudukan 90 darjah. Dua tiga hari lepas Umno menghala muncung senapang dan meriamnya terhadap Nurul Izzah Anwar, dan menyerang pemimpin wanita berbakat itu ekoran pandangannya mengenai sepotong firman berbunyi; tidak ada paksaan di dalam agama.


Bertalu-talu serangan dilemparkan kepada Nurul Izzah, pelurunya bagaikan hujan batu di waktu malam sehingga ahli parlimen Lembah Pantai itu tidak dapat 'mengah'. Ini termasuklah seorang mufti yang melakukan taubat 10 kali sehari dan merasakan dialah paling hebat dan tawaduk menyuruh Nurul Izzah bertaubat.

Walaupun mufti itu tidak menghalusi dan mengkaji dari sudut agama atas empat ilmu syariat, tarikat, hakikat dan marifah terlebih dahulu ke atas kenyataan Nurul Izzah itu, tetapi beliau sudah menjatuhkan hukuman bersalah - minta bertaubat.

Begitulah, dan benarlah kata hukama bahawa empat dari hakim itu tiga akan masuk neraka kerana membuat penghukuman tanpa usul periksa dan lebih kepada menggunakan tukul untuk cari makan. Sebab itulah mereka yang beriman dan beramal dengan imamnya menolak dari dilantik menjadi hakim atau mufti.

Kalau Nurul Izzah hanya memberi padangan general begitu sudah diserang bertalu-talu apatah lagi dengan Nik Aziz yang direct menunding kepada Umno seakan sudah murtad itu, lagilah marah orang-orang Umno. Barang kali ada yang naik gila dan melondehkan kain sambil menghala 'anunya" kepada gambar Nik Aziz ekoran kata-kata ulasan Nik Aziz semalam itu.

Para ulamak Umno juga akan 'bercongek ekor' macam murai gila dengan kenyataan Nik Aziz itu. Sudah pasti dari semalam membawa ke Subuh ini, ada ustaz-ustaz Umno yang membelek kitab-kitab baru dan lama mencari hujah-hujah dan nas-nas untuk membaham Nik Aziz balik. Apakah erti dan guna semua itu? Kita bercakap soal perpaduan, soal perlunya ukhwah tetapi bila satu pihak dari kita melakukan kesalahan atas tafsir kita, kita pula membalas kesalahan itu dengan juga kesalahan lebih teruk. Hamlau...

Tidak mustahil juga dalam masa terdekat majlis fatwa kebangsaan akan diperintah bersidang untuk membincang kata-kata Nik Aziz itu. Sebelum itu tentulah para pemimpin Ngo-Ngo Ubi Kayu, Ubi Keladi atau pun Ikan Ubi akan membuat report polis kononnya kenyataan Nik Aziz itu boleh menimbulkan huruhara, memecah perpaduan dan mencemari kesopanan Islam. Tidak mustahil akan berlaku kerana ketumpulan jiwa terhadap agama menyebabkan berlaku apa yang tidak sepatut dilakukan itu.

Semuanya tindakan-tindakan itu bertolak daripada ulasan Nik Aziz  berhubung doa yang dibaca oleh adiknya Nik Razi Nik Mat selepas solat hajat dalam satu rapat rakyat di stadium Sultan Muhamad Ke IV malam Jumaat lalu. Adik Nik Aziz didalam doanya menyebut dan memohon agar Allah menghancurkan Umno, seperti mana Allah menenggelamkan Firaun, Haman, Namrud dan Abu Jahal kerana kejahatan dan kezaliman dilakukannya.

Umno cukup marah dengan patah-patah doa itu dianggap sebagai melampau. Umno merasakan Nik Razi telah menyifatkan mereka sebagai Firaun, Haman, Namrud, Abu Jalal dan Abu Lahab. Umno sepatutnya tidak hairan kalau Nik Razi melebelkan watak dan karektor itu kepada mereka, kerana bekas presiden mereka sendiri pernah mengakui dan mengatakan; saya adalah Mahafiraun.

Umno juga kurang cerdik dalam melayan doa berkenaan. Silap bagi Umno memberi respon sebegitu sekali. Dalam hal ini yang paling silap dan celaka sekali ialah media massa, seperti TV3 yang memetik dan menyiarkan audio visual setiap malam. Kalau TV3 tidak tidak carry berita berkenaan mungkin ia akan lenyap begitu saja dan Umno tidak menghadapi masalah dengannya. Tanggungjawab sosial dan agama setesen tv berkenaan boleh dipertikaikan.

Sebenarnya jalan mudah bagi Umno untuk tidak berserabut dengan doa itu, parti itu lupakan saja. Ia boleh dianggap sebagai doa politik yang biasa dan boleh terjadi lebih dahsyat dari itu. Bahana kepada Umno apabila media menyiarkan doa itu menyebabkan orang ramai yang tidak tahu kaedah berdoa, akan memahami peranan dan juga bentuk-bentuk doa. Gara-gara itu akan ada di kalangan Umno berjumpa dengan guru mursyid bertanya mengenai status doa berkenaan. Lainlah kalau semua orang Umno memperakui Abdullah Samaah dan Harussani Zakaria sebagai guru mursyid mereka. Kalau ini berlaku walhasilnya Umno akan mengalami kerugian.

Itulah saya katakan media-media PB ini kadang-kadang tidak bijak dalam menanagi isu. Media terutamanya wartawan dan editor merasakan apa yang dibuatnya sudah hebat dan penuh bijaksana. Sebenarnya ia menjadi liabiliti kepada taukehnya sendiri. Umno sendiri menerusi pegawai sarafnya harus memantau tingkah laku dan peranan media ini. Sepatutnya pegawai saraf Umno tidak mengiya secara buta tuli apa dilakukan oleh media massa PB.

Motif Umno hendak menjadikan doa itu sebagai isu politik ia tidak banyak memberi untung. Bagi mereka yang sudah kemas pengangan Islam, memahami segala ilmu didalam Islam akan melihat ia begitu saja tanpa menganjak hati mereka untuk menumpaskan simpati kepada Umno.

Dalam menghadapi peperangan politik Umno kena tenggelam isu yang dilemparkan oleh pembangkang yang jelas tidak relevan dengan perkembangan semasa. Ada isu yang boleh diketengahkan sekiranya ia mengalih pandangan dan mendapat sokongan rakyat, ada isu yang perlu didiamkan saja. Misalnya isu doa yang jelas sesuatu yang tepat kena ke atas muka Umno, sepatutnya disembunyikan. Jangan ambil bicara ke atas isu berkenaan. Umno tidak perlu menyelak kainnya untuk isteri sendiri di tengah ramai.

Umno kena faham apa yang berlaku itu ialah bersifat politik. Doa dibaca oleh Nik Razi itu adalah doa politik. Majlis munajat dan doa itu adalah majlis orang-orang politik. Doa politik atau apa-apa doa terserah kepada Tuhan sama ada hendak makbul atau tidak. Sesungguhnya Tuhan maha bijaksana menghitungnya.

Dan sebagai badan politik Umno juga boleh berdoa. Panggillah sekalian para ustaz dan ulamaknya berhimpun di stadium Merdeka atau Bukit Jalail adakanlah solat hajat. Lawan apa yang Pas dan Pakatan Rakyat lakukan. Hujah lawan hujah, doa lawan doa. Solat lawan solat. Dalam kaedah Islam ada istilah "mukabalah". Nah lakukan. Mukabalah ini boleh dilakukan satu pihak atau kedua-dua pihak serentak. Selalu Umno menolak untuk melakukan kegiatan agama itu kononnya tidak mahu menunjuk-nunjuk dan memperalatkan agama untuk politik. Loya mendengar alasan ini sedangkan Umno tergamak menggunakan perkara lebih jijik dari itu untuk tujuan politik. Gambar lucah yang direkayasa telah digunakan Umno sedangkan ia lebih jijik dari doa Umno KO itu.

Apabila Umno nampak kecut perut dangan doa, nampak sangatlah Umno jahil mengenai agama. Kejahilan Umno takutkan kepada doa samalah ketakutan orang berdosa untuk menunaikan haji ke Makkah. Orang berdosa dikejar bayangan dosanya sendiri dengan membayangkan sesuatu yang buruk akan berlaku tatkala dia memijak laman Kabaah atau tanah haram. Ketakutan sebegitu adalah satu bidaah. Umno sebenarnya sedang berendam dalam lautan mitos dan bidaah.

Pas berbuat begitu kerana ia yakin dengan perbuatan Umno adalah satu kekejaman dan kezaliman. Mereka mengira penarikan balik projek pembinaan lebuh raya, di Kelantan satu kezaliman. Penafian hak rakyat Kelantan terhadap royalti petroleum satu kezaliman. Dengan segala macam penafian lagi oleh kerajaan BN yang ditulangi Umno satu pengkhianatan. Dalam kamus Pas wajarlah kalau Umno didoakan agar ditenggelamkan Allah seperti mana Haman, Namrud dan lain-lainnya.

Demikian juga kenyataan dan ulasan Nik Aziz, Umno sebagai muratd adalah benar dan persepsi cermin keyakinan agamanya. Apabila Umno tidak mahu melaksanakan Islam dan hanya bercakap saja, ianya ada ciri-ciri munafik dan murtad. Murtad bukan sahaja meninggalkan agama Islam dengan memeluk agam lain. Murtad ialah seseorang yang tidak patuh dan ingkar atau bertindak diluar batas-batas syariat Islam. Sesetengah ulamak menghukumkan pesalah murtad dengan hukuman mati.

Berdasar takrifan itu tepat kalau Nik Aziz merasakan Umno sudah murtad. Ada beberapa bukti jelas yang Umno menolak Islam. Enggan melaksanakan hudud, malahan memperlecehkan hudud adalah sebahagian tanda-tanda keingkaran kepada agama, ia juga murtad. Tidak menempati janji-janji sebagai pemerintah seperti mana disuruh oleh Quran, adalah ciri-ciri murtad.

Jadi Umno kena akur kepada apa yang Nik Aziz kata. Dengan menyerang Nik Aziz, Umno tidak akan mendapat apa-apa kelabaan, melainkan letih dan lelah semata-mata. Nik Aziz tidak boleh dikalah dengan peluru dan serangan hendap. Tubuh Nik Aziz kalis dengan peluru dan dia sendiri sudah mangli dengan serangan-serangan berbentuk moralis. Dia sudah kebal dan keramat. Kekebalannya bukan dia menuntut ilmu batin tetapi kerana keyakinan dan sokongan rakyat ke atas istiqamahnya dalam beragama.

Jalan keluar bagi Umno dalam berhadapan dengan pembangkang terutamanya Pas ialah, Umno harus mencuba melaksanakan beberapa tuntutan politik yang Pas inginkan yang juga berkebetulan sehasrat dengan Umno. Perkara pokok sekali ialah Umno istiharkan bahawa Quran dan hadith adalah pegangannya. Tidak salah kalau Umno meralatkan atau bertaubat atas dosanya itu. Jika Umno berbuat demikian, nescaya Nik Aziz dan Pas akan mati akal. Umno juga akan mendapat dua pahala, pahala meninggalkan kemungkaran, pahala kerana menegakkan kebenaran. Di sini relatifnya Umno memperolehi pahala lebih banyak dari Pas?

Percayalah dengan menyerang, memburuk-burukkan Pas ia tidak akan memberi bekas. Apa lagi pemburukan itu dilakukan oleh orang yang ditohok oleh Pas. Pas kini umpama sinar terang yang tidak akan bertambah dengan sinaran bikinan manusia seperti Umno. Carilah lampu yang berkuasa tinggi mana sekali pun sinar yang ada kepada Pas yang terpancar dari langit yang bersalutkan Nur Islam tidak akan terlawan.

Kehadiran Umno dengan membawa cerita-cerita di mulut yang mahukan kepada Islam tidak ubah sebutir mentol kalimantang yang digantung dilangit pada waktu siang tatkala mentari 'terik mengeni'. Kehadirannya tidak akan terasa dan dirasai sedikitpun. Tambahan hari ini, bukan saja Melayu yang beriman, tetapi yang kafir; Cina, India, Dayak, Iban dan segala macam juga turut sama mahu tumpang berteduh di bawah lambayung Kaabah bikinan Pas. Soalnya kenapa Umno tidak sudi untuk sama-sama membina Kaabah bersama Pas dan selama mana Umno mahu menjadi tentera Abrahah?

Tiada ulasan: