"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Saya tidak kenal plaintif’, kata Hadi dalam kes saman calon PKR

"Saya tak kenal langsung plaintif. Macamana saya nak fitnah dia?!" kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kandang saksi Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

Presiden PAS itu berkata demikian ketika memberikan keterangan sebagai saksi utama terhadap saman bekas calon PKR Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Dalam saman itu, Shamsul mendakwa Hadi menuduh beliau menjual pil kuda.

Hadi memasuki kandang saksi kira-kira jam 10 pagi ini bagi memberikan keterangan dengan diiringi para penyokong yang memenuhi perkarangan mahkamah itu, termasuk isterinya, Datin Seri Zainab Awang, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Ketua Wanita PAS Siti Zailah Mohd Yusof dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Sebelum Hadi memberikan keterangan, Adun Bandar yang juga Ketua PKR Terengganu, Azan Ismail, memberikan keterangan sebagai saksi plaintif.

Hadi selesai memberikan keterangan kira-kira sejam kemudian.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa kemudiannya menangguhkan perbicaraan kepada 23 November ini.

Hadi disaman Shamsul kerana mendakwa ada calon PKR semasa pilihan raya umum ke-13 lalu menjual pil kuda, iaitu sejenis dadah.

Dakwaan itu dibuat Hadi dalam ceramahnya di Alor Limbat, Marang, Terengganu menjelang pilihan raya itu.

Ekoran itu, PAS meletakkan calonnya juga di tiga kawasan DUN yang sepatutnya ditandingi calon PKR bagi pihak Pakatan Rakyat termasuk Bukit Besi. Ini disusuli tindakan saman oleh Shamsul.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu membuat penghakiman engkar ke atas Hadi dan meminta beliau membayar RM2 juta kepada Shamsul.

Bagaimana pun, mahkamah kemudiannya mengenepikan perintah itu selepas rayuan Hadi.

Ketika Hadi menghadapi saman dari bekas calon PKR ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berada di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, tetapi dalam kandang tertuduh.

Anwar sedang merayu kepada Mahkamah Persekutuan bagi membebaskannya ekoran keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan beliau bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas beliau.

Tiada ulasan: