"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UM sabotaj program pidato Anwar?

Khairil Ashraf
Mereka memberikan alasan hujan lebat, puting beliung menyebabkan masalah gangguan elektrik. Bermula pukul 4 bekalan elektrik tiada di UM.

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol mendakwa pihak pengurusan Universiti Malaya (UM) akan cuba melakukan sabotaj terhadap penganjuran program bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini.

Beliau berkata pihaknya mendapat khabar berita bahawa wujud tindakan pihak pengurusan tertinggi Universiti Malaysia (UM) yang menghantar kiriman emel kepada pensyarah untuk menghentikan pembelajaran kerana bekalan elektrik akan diputuskan bermula pukul 4 petang ini.

“Mereka memberikan alasan hujan lebat, puting beliung menyebabkan masalah gangguan elektrik. Bermula pukul 4 bekalan elektrik tiada di UM.

“Mereka mahu memastikan program kami ini tidak berjalan baik. Kenapa tiba-tiba bekalan elektrik perlu diputuskan pada pukul 4 petang? Kenapa tidak mahu buat pada waktu Sabtu Ahad? Saya rasa ini merupakan sabotaj daripada UM,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Program “Pidato Anwar Ibrahim : 40 Tahun Dari UM ke Penjara” tersebut dijadualkan bermula pada jam 9 malam ini yang dijangka akan diadakan di Dataran Dewan Tunku Canselor UM.

Fahmi yang juga merupakan penganjur program tersebut turut menafikan laporan bahawa pihaknya bersedia untuk merempuh masuk sekiranya dihalang memasuki kawasan kampus UM.

“Saya nafikan sekeras-kerasnya berita tersebut dan perkara itu dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati dan cuba fitnah kami.

“Dalam group Whatsapp itu itu menunjukkan ada empat orang tetapi sebenarnya dalam group kami ada 43 orang.” katanya.

Semalam satu ‘screenshot‘ Whatsapp telah tersebar meluas di laman sosial membabitkan perbualan beberapa orang pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM) dalam satu perbincangan tertutup mengenai penganjuran program Pidato Umum Ketua Pembangkang di Dataran Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya.

Berdasarkan perbincangan berkenaan, Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol didakwa mengatakan bersedia untuk merempuh masuk sekiranya dihalang memasuki kawasan kampus UM.
-fmt-

Tiada ulasan: