"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mursyidul Am sudah diisi, presiden pula...?

SUBKY LATIF
KEKOSONGAN kerusi Mursyidul Am PAS atas kematian TG Nik Abdul Aziz sebulan lalu telah diisi oleh Datuk Dr. Haron Din dan Timbalan Mursyidul Am pula bagi menggantikan Dr. Haron Din dipenuh oleh Datuk Ahmad Yaakub, Menteri Besar Kelantan.
   
Tahniah kepada kedua-dua tokoh pimpinan ulama itu.
     
Dengan perkembangan itu, maka tertutup ruang jawatan utama dalam Majlis Syura Ulama itu untuk diisi dengan TG Haji Abdul Awang, yang disebut-sebut sebelumnya sebagai kompromi bagi mengosongkan jawatan Presiden.
     
Memang ia satu jalan keluar yang mudah bagi meredakan gelombang yang mahukan jawatan Presiden itu diganti oleh seorang yang lain.
     
Tetapi Majlis Syura yang terdiri daripada 15 orang itu membuat keputusan mengisi Mursyidul Am itu dengan anggotanya yang paling kanan, Dr. Haron Din yang menjadi Timbalan kepada TG Nik Aziz selama ini.
   
Maka sekarang perkembangan menjadikan TG Haji Hadi akan mempertahankan jawatan Presiden kiranya PAS mahu beliau terus berada dalam pimpinan PAS.
   
TG Haji Hadi tidak wajar menjawat jawatan yang lebih rendah daripada Presiden yang disandangnya sejak awal tahun 1990-an.
   
Dengan kedudukan yang ada, jika ada yang bercadang Presiden mesti dicabar, maka kita akan melihat jawatan Presiden itu akan dipertandingkan, suatu yang hendak dilihat sangat oleh pengamat politik tanah air.
     
Dari kalangan PAS yang ghairah jawatan Presiden itu ditanding, tidak sekadar kekurangan yang dikatakan pada TG Haji Hadi tetapi lebih kepada usaha memecahkan keadaan yang menetapkan Presiden dan Timbalan Presiden disandang oleh ulama.
   
Satu pemikiran dalam PAS mengira antara isi kepimpinan ulama itu hendaklah Presiden dan Timbalannya terdiri dari ulama, kerana sejak Majlis Syura diwujud kedua-dua penyandangnya menjadi anggota Majlis Syura. Majlis Syura hanya dianggotai oleh ulama saja. Jika Presiden dan Timbalan tidak ulama, maka mereka tidak sesuai duduk dalam Majlis Syura.
   
Satu pemikiran lagi mengira kepimpinan ulama itu memadai dengan kewujudan Majlis Syura dengan fungsinya seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan.
   
Sejak Mohamad Sabu menjadi Timbalan Presiden sepenggal lalu, justeru beliau tidak masuk dalam Majlis Syura, maka antara empat ahli Majlis Syura dari kalangan ahli Jawatankuasa PAS diisi oleh orang lain dan ia tidak dikira telah mencacat Majlis Syura dan mengurangkan peranan Jawatankuasa  PAS. Maka ia membuktikan tidak ada kurangnya PAS jika Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada dalam Majlis Syura.
     
Atas kepercayaan itu maka perlu dicuba, Presiden dan Timbalan Presiden bukan ulama. Inilah masa yang terbuka, peluang bagi membebaskan PAS tidak terbelenggu dengan pandangan Presiden dan Timbalan mesti ulama.
   
Pemikiran itu mula tercetus selepas kematian Ustaz Fadzil Noor, tetapi ia tidak ketara dan tidak jadi isu. Tetapi ia amat ketara dan jadi isu sekarang bahawa kepimpinan ulama itu memadai dengan kewujudan Majlis Syura itu.
     
Mungkin yang menjadikan ia isu justeru tidak muncul dalam masa akhir-akhir ulama yang menonjol setara dengan penonjolan ulama seperti Haji Yusof Rawa, Ustaz Fadzil, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi sebaik saja konsep kepimpinan ulama itu diperkenalkan tahun 1982 dulu.
     
Apabila Ustaz Hadi tiada pilihan melainkan mempertahankan jawatannya, maka mencalon bukan ulama bagi mencabar Ustaz Hadi tidak dikira menggalakkan. Maka ulama mana yang sedia bertanding dengan TG Haji Hadi atau siapa orang profesional yang hendak dicalonkan?
     
Kita sama-sama tunggu. 

Tiada ulasan: