"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib mula perlekeh Muhyiddin?

Shahbudin Husin
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menulis di twitter pada 27 Februari lalu meminta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa menyiasat keadaan sebuah sekolah di Sarawak yang tidak berdinding dan membantunya jika benar, ia sebenarnya adalah petanda jurang komunikasi yang semakin jarak antara beliau dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau sepatutnya memberitahu perkara itu secara "direct" dan senyap-senyap kepada Tan Sri Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran. Tetapi dengan memilih memuatkan gambar sekolah yang tidak berdinding dan meminta Ketua Setiausaha Negara menanganinya, ia bukan saja suatu sindiran halus terhadap Tan Sri Muhyiddin, tetapi juga cubaan memperlekehnya.

Apabila kemudian dilaporkan mesyuarat kabinet menolak suntikan modal sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB, ia hanya menyebut bahawa ia adalah berasaskan bahawa ramai menteri tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Sebenarnya yang paling kuat menentang perkara itu ialah Tan Sri Muhyiddin sendiri. Melihat bahawa 1MDB sudah dibebani dengan banyak hutang dan kontroversi yang berlarutan sehingga ke peringkat antarabangsa, pertimbangan beliau ialah dana awam tidak harus terus digunakan untuk menyelamatkan syarikat tersebut.

Pendirian Tan Sri Muhyiddin itu diperkukuhkan lagi dengan kenyataan akhbarnya beberapa hari selepas itu mengenai langkah-langkah penyelesaian yang seharusnya dilakukan terhadap 1MDB. Selain mahukan pengauditan secara telus dan menyeluruh sejak awal penubuhannya dan meminta Jawatankuasa Kira-Kira Awam atau PAC menyiasat terlebih dahulu tanpa menunggu laporan Ketua Audit Negara, Timbalan Perdana Menteri itu juga menyatakan tidak seharusnya dana awam digunakan untuk menyelamat atau " bailout" syarikat itu.

Pendirian Tan Sri Muhyiddin itu secara umumnya adalah selari dengan kehendak majoriti rakyat yang tidak henti-henti dihidangkan dengan pelbagai kontroversi dan masalah berkaitan syarikat itu. Bagi pandangan umum, 1MDB yang sudah dibebani hutang sebanyak RM42 bilion di samping dakwaan adanya caca-marba dalam beberapa pelaburannya, ia tidak seharusnya lagi dimanjakan dengan duit rakyat untuk meneruskan jangka hayat kehidupannya.

Sebagai orang nombor dua dalam parti dan kerajaan, Tan Sri Muhyiddin juga menunjukkan pendiriannya yang konsisten terhadap 1MDB sebagaimana yang diucapkannya dengan tidak menghadiri perjumpaan menyatakan sokongan oleh Ketua-ketua UMNO bahagian terhadap Perdana Menteri di PWTC, baru-baru ini.

Daripada 191 Ketua UMNO Bahagian di seluruh negara, hanya seramai 154 yang menghadiri perjumpaan itu dan Tan Sri Muhyiddin adalah dalam kelompok 37 orang yang tidak menghadirinya.

Tetapi baru-baru ini dilaporkan Kementerian Kewangan telah menyuntik RM950 juta kepada 1MDB sebagai "kredit tunggu sedia" dan ini jelas merupakan suatu tindakan "bailout" bagi tujuan melegakan kedudukan kewangan syarikat tersebut.

Walaupun Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang banyak bercakap mengenai suntikan RM950 juta ini tetapi ia tidak mungkin diberikan tanpa pengetahuan atau kelulusan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Dalam bahasa yang mudah, Datuk Seri Najiblah sebenarnya yang meluluskan pinjaman RM950 juta itu.

Dalam hal ini, amat jelas dan terang Perdana Menteri sedang cuba memperlekeh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin dan juga kabinet.

Tan Sri Muhyiddin bersikap tegas menolak pinjaman RM3 bilion kepada 1MDB dalam mesyuarat kabinet dan disusuli dengan kenyataan akhbarnya yang lebih terperinci mengenai tindakan yang seharusnya dilakukan untuk menangani syarikat bermasalah itu. Namun akhirnya Datuk Seri Najib sebagai Menteri Kewangan meluluskan "kredit tunggu sedia" sebanyak RM950 juta kepada 1MDB.

Kabinet pula telah bersetuju menolak pinjaman sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB tetapi Datuk Seri Najib menggunakan kuasa yang ada padanya untuk meluluskan pinjaman sebanyak RM950 juta.

Ini bermakna bukan saja keputusan kabinet tidak cuba dipatuhi oleh Perdana Menteri, bahkan beliau dalam masa yang sama cuba memperlekehkan timbalannya yang tidak sebulu dengannya dalam isu 1MDB itu.

Datuk Seri Najib nampaknya mula menunjukkan jarak hubungannya dengan Tan Sri Muhyiddin melalui tulisan di twitternya dan kemudian memperlekeh pula melalui suntikan RM950 juta kepada 1MDB sebagai balasan atas pendirian timbalannya itu yang tidak setuju sebarang "bailout" dilakukan dan juga kerana tidak menghadiri perjumpaan Ketua-ketua UMNO bahagian menyatakan sokongan terhadapnya.

Secara langsung semua ini membenarkan spekulasi kerenggangan hubungan antara kedua mereka yang telah diperkatakan sejak sekian lama.

Dengan tindakan terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyerang Perdana Menteri secara lebih keras berkaitan isu 1MDB dan mengaitkannya dengan kekayaan keluarganya, tindakan balas-membalas antara Datuk Seri Najib dengan Tan Sri Muhyiddin mungkin terus berlarutan dan lebih terbuka selepas ini.

Sebuah lagi "peperangan" sedang menanti dalam waktu terdekat ini.

Tiada ulasan: