"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

A Kadir Jasin : Ahmad Maslan hanyalah budak hanyir?

A KADIR JASIN
TERIMA kasih dan syabas kepada orang lama Umno dan bekas orang kanan kerajaan, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah kerana ucapannya di Dewan Rakyat pada 17 Mac menggesa kerajaan (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak mengutamakan rakyat.

Antara lain, beliau menasihatkan Pentadbiran Mohd Najib Abdul Razak melakukan beberapa perkara bagi meringankan beban rakyat jelata, termasuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan bermula bulan hadapan.

Ku Li, antara lain, berkata: “Di atas perkiraan inilah saya telah cadangkan di dalam surat bertarikh 30hb Oktober, 2014 supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ditangguhkan memandangkan ekonomi dan kewangan awam berada di tahap yang tenat. Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab musabab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat. Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada bulan April hadapan ini akan menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada sipiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan.” (rujuk ucapan penuh).

Namun, secara peribadi, saya tidak menjangka gesaan Ahli Parlimen Gua Musang itu akan mengubah tindak-tanduk Perdana Menteri. Ia umpama mencurah air ke atas daun keladi – tercurah, tertumpah tak meninggalkan kesan.

Jelas, Mohd Najib tidak boleh diubah. Salah satu sebabnya adalah keputusan mutakhir bukan di tangan beliau. Beliau adalah watak terkawal (controlled) dan terhutang budi (beholden) kepada terlalu banyak pihak.

Meminjam ungkapan beliau sendiri ketika merasmikan konvensyen Umno Kedah baru-baru ini, beliau dikerumuni dan dikuasai oleh begitu ramai penggilap epal (kaki ampu) dan "jemuan" yang tidak akan membenarkan beliau berubah apatah lagi mengundurkan diri.

Bagi meringkaskan pengistilahan, saya singkatkan golongan ini sebagai PEJ – penggilap epal dan "jemuan".

Ambil contoh gesaan Ku Li agar pelaksanaan GST ditangguhkan. Dengan serta-merta Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan menyangkalnya apabila beliau berkata bahawa cukai baru itu adalah untuk kebaikan rakyat jelata dan bukan untuk membayar balik hutang.

Jawapan selamba itu mungkin dipercayai Mohd Najib kerana beliau sendiri tidak begitu dalam ilmu ekonomi dan pentadbiran. Beliau juga mungkin percaya yang semua rakyat jelata jahil mengenai hal-ehwal fiskal maka mereka percaya hujah seperti yang dibuat oleh Ahmad Maslan itu.

Kalau cukai bukan untuk bayar hutang, ia untuk apa? Sepanjang yang kita ketahui, dalam belanjawan negara, cukai adalah untuk pengurusan yang merangkumi gaji kakitangan awam, penyelenggaraan dan pembayaran balik hutang.

Kalau hutang tidak dibayar menggunakan hasil cukai, daripada mana kerajaan dapat duit untuk bayar hutang? Kerajaan cetak duit atau minta usahawan macam T Ananda Krishnan untuk tolong bayar?

Ramai orang tahu bahawa hampir keseluruhan perbelanjaan pembangunan adalah daripada sumber hutang kerana hasil cukai hanya ngam-ngam untuk perbelanjaan pengurusan. Sebab itulah belanjawan negara mengalami defisit!

Ahmad Maslan adalah budak hanyir (kanyiaq dalam loghat Utara) dibandingkan dengan Ku Li. Oleh sebab dia budak hanyir mungkin dia tidak pun kenal siapa Ku Li sebenarnya. Mungkin dia tidak tahu bahawa Ku Li lah yang pegang tangan Mohd Najib di Petronas pada pertengahan tahun 1970-an.

Ku Li lah antara orang terakhir berjumpa Allahyarham Tun Abdul Razak di katil sakitnya di London pada tahun 1976.

Mungkin orang belajar tinggi di luar negara seperti Ahmad Maslan (di New Zealand) dan berijazah MBA berasa orang lama seperti Ku Li, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan (Tun) Daim Zainuddin tidak relevan lagi.

Mungkin orang macam Ahmad Maslan tidak peduli untuk ambil tahu bahawa orang seperti Ku Li, Dr Mahathir dan Daim lah yang menjadi penyambung hayat politik Mohd Najib sehingga beliau naik menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Mungkin Dr Mahathir dan Daim telah melakukan kesilapan besar menaikkan Mohd Najib.

Maaf cakaplah kalau saya kata, Dr Mahathir, Ku Li dan Daim serta orang ramai yang sependapat dengan mereka akan kecewa kerana Mohd Najib tidak akan berubah dan tidak akan mengundurkan diri.

Hanya paksaan atau keterpaksaan berkaitan isu-isu seperti 1MDB, Pembangunan PFI Sdn Bhd, SRC International Sdn Bhd dan kejayaan Sirul Azhar Umar memboloskan diri ke Australia akan memaksa Mohd Najib mengundurkan diri.

Buat waktu ini, hanya Majlis Tertinggi Umno boleh mengubah atau menyingkirkan Mohd Najib. Tetapi ia dalam genggaman Mohd Najib dan PEJ-nya.

Lagipun terlalu banyak hipokrasi dan penyelamatan diri (self preservation) di kalangan ahli MT. Masing-masing takut dilondehkan.

Harapan rakyat jelata melakukan perubahan tidak akan tiba sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang tiga atau empat tahun dari sekarang.

Jika ketika itu Mohd Najib masih kekal dan perubahan yang diharapkan oleh rakyat jelata tidak berlaku mereka mungkin menyingkirkan Barisan Nasional kerana marah walaupun Pakatan Rakyat dalam keadaan porak-peranda.

BN dan Umno sudah pun berasa bahang undi benci dan menyampah ini pada PRU 2013. Hanya ketakutan dan kebencian kepada tunjuk kuat PR, khususnya oleh DAP, menyebabkan sebahagian orang Melayu berpatah balik mengundi calon Umno.

Sementara itu, Mohd Najib akan terus dipuji dan digesa jangan berganjak oleh para PEJ dan batu ronson di sekelilingnya dengan bantuan jentera propaganda yang mereka kuasai.

Mereka tidak akan membenarkan beliau bertindak rasional kerana mereka tahu kalau beliau berfikir secara rasional, ramai antara mereka akan terpelanting.

Pengkritik dan penentang Mohd Najib wajib menerima hakikat bahawa Mohd Najib bukan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang boleh dinyahkan dengan mudah.

Pak Lah tidak mempunyai struktur mega seperti Mohd Najib. Pak Lah dikelilingi oleh anggota inner circle yang kecil bilangannya. Mohd Najib mempunyai ratusan anggota inner circle dengan pembiayaan yang lumayan.

Harapan pengkritik dan penentang Mohd Najib berjaya boleh diperbaiki hanya jika mereka lebih terbuka dan tidak terlalu bergantung kepada orang lama seperti Dr Mahathir, Daim dan Tengku Razaleigh atau menaruh harapan semata-mata kepada (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin untuk menggerakkan agenda.

Mereka harus berani berfikir mungkin Ku Li adalah alternatif yang lebih baik menggantikan Mohd Najib sebagai pengganti interim. Mungkin Muhyiddin tidak 100% berminat untuk menggantikan Mohd Najib atau tangan beliau terikat kerana beliau terlalu hampir dengan tampuk kuasa dalam Umno dan kerajaan.

Mungkin juga ini bukan masanya bagi Dr Mahathir atau Ku Li serta pengikut mereka terperangkap dalam penjara masa ketika mana mereka bermusuhan dan berbeza pendapat.

Tanggungjawab semua pihak yang mahukan perubahan adalah kepada negara. Kalau Malaysia kacau-bilau dan mundur semua akan rugi kecuali para pemodal yang tahu mengambil kesempatan daripada huru-hara politik dan ekonomi.

Kalau nasi menjadi bubur masih boleh dimakan. Tetapi kalu nasi tumpah ke tanah, rakyat jelata akan kebuluran.

PS: Harga pasaran Jet Eksekutif Airbus A319 yang baru dibeli oleh Pentadbiran Mohd Najib adalah sekitar AS$60 juta (kira-kira RM220 juta). Saya tidak pasti harga yang kerajaan Mohd Najib bayar untuk A319 kedua ini. Dalam teknologi kapal terbang, usia 19 tahun (BBJ TUDM) tidak tua. Kapal terbang Queen Elizabeth jenis Bae 146 dibekalkan pada tahun 1986. Sekarang sudah berusia 29 tahun. Helikopter Aerospatiale Alouette dan Nuri TUDM sudah hampir 50 tahun masih terbang dan jet pejuang F/A-18 Hornet sudah 23 tahun. Tolak BBJ, TUDM ada empat buah lagi jet eksekutif – Airbus A319, Bombardier Global Express, Falcon 900 dan Fokker F28 serta empat buah helikopter VIP. Khabarnya pesawat F28 sudah tidak boleh digunakan. Dalam keadaan ekonomi yang lembap dan rakyat jelata dalam kesusahan, bukankah semua ini berupa pemborosan dan bukti gaya hidup mewah? 
kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: