"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hudud: Masa untuk DAP, MCA dan Gerakan terima kenyataan - Ng Kee Seng

Ng Kee Seng
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini membentang dan membahaskan pindaan enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993. Ia akan diluluskan oleh 45 Adun yang semuanya beragama Islam esok, dan itu hanyalah formaliti.

Ini kerana tidak syak lagi, DUN yang didominasi PAS itu akan dapat apa yang dimahukan. Sama ada PAS akan mendapat kelulusan Parlimen yang diperlukan adalah soal lain.
Namun, sudah tiba masanya rakyat Malaysia menerima hakikat ini dan terus melangkah ke hadapan.

Hakikatnya, undang-undang hudud negeri itu sudah diluluskan dua puluh tahun yang lalu.

Kepada pihak yang selama ini menentang hasrat PAS melaksanakan hudud bagi orang Islam di Kelantan, bukankah ini masanya untuk menamatkannya dan melangkah ke hadapan?

Terutama bagi DAP, MCA dan Gerakan. Meraka patut sudah menerima kenyataan bahawa selagi rang undang-undang itu tidak menyalahi peraturan, mereka perlu menerima keputusan majoriti. Bukankah itu demokrasi?

Selama tiga dekad, DAP, MCA, MIC dan Gerakan sentiasa bersuara membantah atau menolak apa-apa langkah untuk melaksanakan hudud di Kelantan atau Malaysia. Apakah yang mereka capai setakat ini? Tiada apa-apa.

Dan bagi Kelantan, ketiga-tiga parti politik bukan Melayu tidak memiliki seorang wakil pun di DUN.

Jika majoriti umat Islam menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan, itu adalah hak demokratik mereka. Bukankah begitu?

Selain itu, apa yang DAP, MCA, Gerakan maksudkan tentang memperjuangkan hak beragama dan demokrasi?

Bukankah orang Islam mempunyai hak untuk mengamalkan agama mereka? Maka, mengapa ada diskriminasi terhadap orang Islam?

Sudah banyak yang diperkatakan DAP, MCA dan Gerakan tentang ketakutan terhadap hudud. Apa yang mereka takutkan? Hudud atau pelaksanaannya?

Secara prinsip, orang bukan Islam tiada hak menafikan orang Islam yang mahukan hudud. Namun mereka berhak untuk menggesa agar mereka tidak tertakluk di bawah undang-undang itu melalui apa sahaja cara, jika ia dilaksanakan dan dikuatkuasakan.

Justeru ketakutan sebenar mereka adalah pelaksanaan, penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang. Dan DAP belum pun mula menangani secara terperinci tentang aspek-aspek ini.

Apa yang mereka buat, terutama DAP, hanyalah menentang hudud dengan penuh agresif sepanjang tiga dekad ini, mempolitikkannya dan dengan itu menunjukkan mereka sebagai anti-Islam. Bolehkah anda benar-benar salahkan pihak yang menganggap DAP sebagai anti-Islam?

Apakah tindakan positif yang telah diambil DAP untuk menyelesaikan isu hudud? Adakah mereka benar-benar pejuang kebebasan agama dan demokrasi?

Jika ya, pemimpinnya perlu berfikir di luar kotak dan menerima hudud sebagai hak orang Islam.

DAP sebaliknya patut menyokong PAS dan bekerjasama dengan mereka untuk merangka pelaksanannya, demi memastikan minoriti bukan Islam di Kelantan tidak tertakluk atau terkesan dengan undang-undang itu.

Bukankah itu langkah yang positif bagi DAP di dalam Pakatan, atau sebuah kerajaan Pakatan? Atau DAP sebenarnya tidak yakin dapat memastikan Pakatan mampu melaksanakan dan mentadbir hudud hanya untuk orang Islam, dan mengecualikan orang bukan Islam?

DAP telah mengancam kedudukan dan status PAS dalam Pakatan jika mereka meneruskan usaha melaksanakan hudud di Kelantan. Apakah kesan positif langkah itu kepada orang bukan Islam dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Apa yang DAP lakukan hanyalah membangkitkan emosi politik dan memarakkan api agama dalam isu ini. Adakah DAP mahu memimpin rakyat Malaysia ke arah perkembangan sosial yang positif, atau cuma mahu kekal relevan di kalangan orang bukan Islam?

Jangan dilupakan bahawa ciri utama yang paling penting dalam pindaan enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 ini adalah undang-undang hudud hanya dilaksanakan ke atas orang Islam. Itulah prinsipnya.

Kebimbangan yang dibangkitkan DAP dan pihak bukan Islam lain adalah tentang salah urus. Bukankah menjadi tugas DAP untuk memastikan Pakatan mampu menjadi pentadbir yang cekap dalam kerajaannya?

Agensi berita nasional Bernama memetik Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebagai berkata, enakmen itu menawarkan pilihan kepada orang bukan Islam sama ada ingin dibicarakan di bawah hudud atau undang-undang sivil.

Pindaan dan penambahbaikan terhadap enakmen itu berdasarkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak, antaranya pakar perundangan, politikus dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Dengan pindaan ini, kanun jenayah ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukalaf bagi apa-apa kesalahan di bawah kanun ini ," katanya yang juga menjadi Ketua Sekretariat Tetap Hudud Negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Kota Baru dan pengamal undang-undang itu juga berkata, orang bukan Islam tidak lagi perlu bimbang terhadap pelaksanaan undang-undang itu.

Katanya lagi, pindaan (15 perkara) itu turut memperkemas hukuman terhadap kesalahan berkaitan liwat dan zina, serta soal-soal teknikal.

Katanya, usaha ke arah pelaksanaan kanun jenayah Syariah di negeri itu dibangkitkan apabila rang undang-undang hudud diluluskan sidang DUN pada 25 November 1993.

"Penubuhan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengkaji pelaksanaan hudud di Kelantan dilihat perkembangan positif ke arah usaha melaksanakan undang-undang Islam ini.

"Dua perkara perlu ditangani bagi mengatasi halangan perundangan untuk mewartakan dan melaksanakannya. Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan perlu dibawa ke Dewan Rakyat."

Katanya, salah seorang Ahli Parlimen PAS akan membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan, bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri melaksanakan Kanun Jenayah Syariah. Pada masa sama, kerajaan Persekutuan perlu meminda Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dalam soal yang berkaitan dengan kuasa mahkamah Syariah.

Dalam respon segera, Bendahari Umno Kelantan dan Adun Kok Lanas Datuk Md Alwa Che Ahmad berkata: "Isu ini hanya berkaitan orang Islam. Orang lain tidak perlu campur tangan."

Sementara itu, delegasi 50 ahli Gerakan pelbagai negeri yang diketuai timbalan Ketua Pemuda Andy Yong berkata: "Kami di sini untuk menyokong tiga rakan parti kami yang telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk mencabar kesahan undang-undang hudud.

"Kami bukan anti-Islam. Hudud bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Bagaimana anda akan dapat kuatkuasakan dua undang-undang jenayah dalam negara ini? Bagaimana untuk menguatkuasakannya dalam negara berbilang kaum?"

Mereka yang mengemukakan cabaran tersebut adalah Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Man Sie.

Antara yang hadir menyokong adalah pemimpin muda parti itu dari Pulau Pinang, termasuk Ketua Pemuda negeri Hng Chee Wey, Bendahari Pemuda negeri Andy Tan Hum Wei dan Setiausaha Pemuda negeri Ooi Zhi Yi.

Hng juga berkata: " Kami bukan anti-Islam. Jaminan bahawa orang bukan Islam tidak akan terkesan adalah tidak kukuh. Jika seorang lelaki bukan Islam merogol wanita Islam, undang-undang mana yang akan digunakan?"

Tindakan proaktif Pemuda Gerakan memang berani. Tetapi dimanakah panel kajian hudud MCA yang dianggotai 100 peguam pada masa ini?

Keputusan pengundian rang undang-undang hudud esok, yang melibatkan 32 Adun PAS, 12 Umno dan seorang dari PKR sudah hampir pasti.

Laman the Malaysian Insider memetik Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke sebagai berkata, parti itu akan mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan, berikutan langkah PAS Kelantan ini. Nampaknya lebih banyak ugutan daripada DAP, tanpa mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia?

Apakah faedah tindakan itu kepada minoriti di Kelantan?

Tiada ulasan: