"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SEMAKIN HANGAT!!!! Semua pendedahan bukan fitnah, Tuhan sebagai saksi - Husam

BERANI KERANA KASIH: SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH

I . ANDAI SAYA JADI PEGAWAI AKHBAR MB

Kenyataan Media

Kerajaan Kelantan yakin akan dapat menyelesaikan semua tunggakan dan isu-isu seperti berikut sebelum akhir tahun ini:

1. RM 14.6 juta tunggakan caruman guru YIK
2. RM 6.3 juta tunggakan bayaran kematian peserta skim Kifalah
3. Bayaran dividen peserta Ladang Rakyat bagi tahun 2015

Kerajaan juga sedang merangka pelan dan menyediakan dana yang mencukupi bagi menyiapkan semua baki rumah yang dihanyutkan oleh banjir pada akhir tahun lalu yang masih belum siap.
Menjelang bayaran pertama kenaikan elaun Adun pada Januari 2016, InsyaAllah semua isu-isu lebih mendesak yang disenaraikan di atas telah dapat diselesaikan, kecuali pembinaan semula rumah untuk mangsa banjir memerlukan tempoh lebih lama kerana pembinaan sedikit terhalang semasa musim tengkujuh.

Pada masa yang sama, keperluan semasa yang menasabah bagi setiap wakil rakyat juga perlu diambil kira bagi membolehkan mereka dapat berkhidmat dengan jayanya.

Apa yang dibangkitlan oleh YB Adun Salor sememangnya telah pun dalam pertimbangan Kerajaan.

Oleh itu, isu kenaikan elaun Adun yang boleh menjejaskan tanggung jawab kerajaan yang lain yang lebih mendesak tidak berbangkit sama sekali dan tidak perlu diperdebatkan lagi.

Di Bawah pentadbiran YAB Ustaz Datok Ahmad bin Ya'kub sebagai Menteri Besar, Kerajaan Kelantan tetap sensitif terhadap semua permasalahan rakyat sesuai dengan dasar Membangun Bersama Islam.

Sekian. Terima kasih.

Pegawai Media
Menteri Besar Kelantan
4 November 2015
---------------
Di atas adalah contoh kenyataan media yang saya akan tuliskan berkait isu kenaikan elaun Adun Kelantan, jika saya adalah Pegawai Akhbar MB.

II. SAYA BERUBAH ATAU PAS BERUBAH?

Saya melihat - Pas yang berubah.

Kalau berkait dengan parti - saya tetap berpendirian - dalam politik Malaysia Pas perlu berusaha menjadi 'kepala' dan bukan 'ekor' membawa Islam sebagai teraju pentadbiran, polisi, pendekatan dan dasar negara.

Di Terengganu, negeri Presiden PAS, satu masa dulu berslogankan PGU - Pas Ganti Umno. (Di Kelantan, Tok Guru tak pernah bawa slogan ini tetapi PAS Alhamdulillah kekal mentadbir Kelantan hingga saat ini)

Hari ini, Presiden PAS dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'Penasihat' ekoran kenyataan beliau : 'Kerjasama politik kita tak masuk kerajaan...' (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' ( Sinar Harian, tarikh sama)

'Kita mahu jadi pembangkang yang menasihat sekiranya kerajaan sanggup menukar dasar dengan konsep Islam kita bukan pelahap untuk rebut jawatan', katanya. (sumber sama)

'Hadi: Ada orang cemburu hubungan PAS-UMNO' - Sinar Harian, 6 Jun 2015.

Sebagai ahli Pas berjawatan YDP Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan Presiden saya kebelakangan ini.

Saya tidak berhajat untuk memetik semua laporan berita kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden saya.

Cukup saya balikkan pertanyaan Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?

Semua kenyataan ini menggambarkan seakan Presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi.

Saya dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah PJ Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu. Saya berubah atau Pas berubah?

Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?

UG adalah contoh lain.

Sekian lama, satu-satunya pemimpin Pas yang mendendangkan lagu UG adalah Presiden PAS sendiri.

Pertama, adakah gagasan ini pernah diluluskan dalam mana-mana muktamar PAS?

Jika tidak, kenapa?

Menjelang muktamar 2011, Presiden telah menarik balik gagasan ini secara terbuka.

Menjelang muktamar baru lalu pula, dalam ucapannya di Singapura, Presiden mengulangi cadangan pembentukan Kerajaan UG.

Adakah beliau memasukkan gagasan yang beliau kemukakan semula itu dalam ucapan dasar bagi Muktamar baru lalu?

Kenapa gagasan yang begitu besar itu tidak dibawa kepada mesyuarat parti/Muktamar?

Saya berubah atau Pas berubah?

Kedua, selepas bertahun-tahun gagasan itu dijual, adakah ia berjaya dan menjadi kenyataan?

Parti mana yang telah menyambutnya?

Jika tidak, bukankah lebih baik jika rundingan belakang tabir dilakukan terlebih dahulu sebelum dijual terbuka tetapi tiada langganan. Bukankah itu menjatuhkan reputasi Pas?

Jika rundingan belakang tabir hendak dilakukan, tidak cukup hanya Majlis Syura diberitahu mengenainya, tetapi mesti juga dimaklum dan diluluskan oleh Pas Pusat.

Seingat saya, rundingan sulit belakang tabir tidak pernah mendapat persetujuan Pas Pusat.

Termasuk apa yang diberitahu oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa bahawa seawal April 2008, Majlis Syura telah bersetuju melantik wakil untuk berunding dengan parti-parti termasuk UMNO.

Keputusan itu tidak pernah dimaklum dan mendapat persetujuan Pas Pusat, pada hal isu seperti itu wajib mendapat persetujuan Pas Pusat selaku kuasa eksekutif parti.

Saya berubah atau Pas berubah?

Kalau konsep UG pun gagal tetapi telah menimbulkan pertelingkahan di kalangan ahli, apalah kaitannya secara salah cuba memalukan saya dengan isu lebuhraya, pembinaan stadium dan pengembangan ekonomi mikro menerusi penternakan kambing yang kesemuanya diluluskan oleh parti dan kerajaan secara sah?

Sesetengah pemerhati bahkan berpendapat, itu antara faktor penyumbang kemenangan Pas di Kelantan.

Apa penyelewengan saya dalam isu-isu itu, jika ada?

Adakah Jabatan Penerangan Pas penyambung fitnah dan adu domba UMNO?

Ketiga, apakah cadangan menjadi penasihat kerajaan adalah sambungan dari konsep UG yang tidak berjaya?

Saya tidak menuduh, tetapi parti perlu menguruskan isu ini. Inilah tugas Jabatan Penerangan. Menjelaskan kepada semua ahli dan kawasan-kaeasan di seluruh negara bagi mengelakkan kekeliruan dan menjadi persendaan.

Bukan menyerang saya. Secara serangan peribadi pula.

Kecuali Jabatan Penerangan pun ikut keliru.

Saya mungkin tersasar bila menyebut kemungkinan kedudukan sebagai penasihat itu bergaji penuh bertaraf menteri. Ia hasil dari ketiadaan penjelasan selepas sesuatu pendirian parti diumumkan.

Saya akui, itu adalah agak saya sahaja.

Nampaknya cadangan menjadi penasihat juga belum dirundingkan secara muktamad namun telah dihebohkan sedemikian rupa. Kalau ikut laporan media, rundingan dengan PM baru hendak dimulakan.

Andaikata ia sekali lagi gagal, jentera parti di peringkat akar umbi sudah bercakaran.

Adakah ini akan menguatkan Pas dalam PRU akan datang, khususnya di Kelantan?

Adakah awal-awal lagi kekalahan yang mungkin akan dialami oleh PAS di Kelantan kerana masalah yang dihadapi oleh PAS sekarang hendak dilonggokkan kepada saya?

Berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang saya bangkitkan.

Isu pengurusan hutan yang pruden bukan isu baru yang saya bangkitkan.

Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya.

Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan?

Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?

III. MARI MAJLIS DIALOG SAYA 13 NOVEMBER

Dalam artikel yang sama oleh Pengarah Jabatan Penerangan Pas, saya ditanya 'Apa Husam mahu?'

Bagi mengetahui jawapannya, saya mempersilakan beliau hadhir dalam majlis dialog terbuka saya di Pasir Tumbuh pada 13 November ini.

Saya yakin, Jabatan Penerangan sudi membayar perbelanjaan perjalanan beliau ke Kelantan.

IV. PAS BENTUK KERAJAAN BERSAMA UMNO DI SELANGOR

Saya membaca kenyataan TITM di Malaysiakini bahawa tiada alasan untuk PAS bergabung dengan UMNO membentuk kerajaan di Selangor.

Sebagai seorang muslim yang wara' dan alim, semua pimpinan Pas tahu bahawa berbohong adalah amat ditegah oleh Islam.

Fakta bahawa Presiden PAS mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan?

Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan:

- Apa yang saya sebutkan adalah benar.

- Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.

- Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden PAS' - saya harap dapat ditarik balik serta merta.

Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa.

Kenyataan saya adalah benar dan saya bertanggungjawab dunia akhirat.

Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. Allah adalah saksi Maha Agung.

HUSAM MUSA
25 Muharram 1437
7 November 2015

3 ulasan:

IrWrWs berkata...

Sudah2lah tu husam.. hanya melayu PAN shj yg masih simpati dgn kamu.. kalau kamu dapat simpati kami, pasti kami tak singkirkan kamu awal2 masa muktamar.. sila fikir dalam2 kenapa kamu disingkirkan.. kalau PAS yg berubah pasti kami dah humban TGHH... kami x nak jadi spt PAN yg berubah dari sokong hudud terus sanggup tolak hudud kalau DAP tolak hudud...

Unknown berkata...

Umpama tak dapat tanduk.. Telinga dipulas. Menang jadi arang kalah jadii abu

IrWrWs berkata...


Sudah2lah tu husam.. hanya melayu PAN shj yg masih simpati dgn kamu.. kalau kamu dapat simpati kami, pasti kami tak singkirkan kamu awal2 masa muktamar.. sila fikir dalam2 kenapa kamu disingkirkan.. kalau PAS yg berubah pasti kami dah humban TGHH... kami x nak jadi spt PAN yg berubah dari sokong hudud terus sanggup tolak hudud kalau DAP tolak hudud...