"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelakon Wanita Ini Didenda RM5,000 Kerana Guna Dadah

PETALING JAYA: Pelakon dan model Zarina Anjoulie didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine, tiga tahun lepas.

Majistret Mohd Nazri Omran turut memerintahkan Zarina, atau nama penuhnya Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 29, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Bapanya membayar denda itu.

Mahkamah juga memerintahkan pelakon kacukan Melayu, Iran dan Scotland itu yang terkenal dengan drama bersiri Anak Pontianak menjalani tiga tahun pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula Khamis.

Terdahulu, Zarina yang memakai baju blaus biru gelap dan berseluar merah jambu serta berselendang coklat mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan semula kepadanya.

Sebelum ini, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan tetapi menukar pengakuan hari ini selepas mahkamah mendengar keterangan enam saksi pendakwaan.

Zarina didakwa menggunakan dadah jenis methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Narkotik Damansara di sini pada 8.10 malam, 30 Dis 2012 mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda hingga RM5,000.

Ketika rayuan, peguam Nasir Yusof mewakili Zarina memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan pelakon itu kini tidak mempunyai apa-apa harta kerana pendapatannya terjejas semenjak didakwa, selain berjanji akan mengubah kehidupan ke arah lebih baik pada masa akan datang.

Timbalan Pendakwa, Raya Siti Fatimah Yahya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana kesalahan dadah adalah serius dan tertuduh merupakan 'public figure' yang mendapat perhatian ramai dan sepatutnya menunjukkan teladan baik kepada masyarakat.

Pada 22 Oktober lalu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Zarina kerana gagal hadir pada perbicaraan kes dadah yang dihadapinya.

Namun, Majistret Mohd Nazri membatalkan waran tangkap tersebut hari ini selepas Zarina hadir ke mahkamah.

Peguamnya juga mengemukakan sijil cuti sakit Zarina yang tidak hadir padatarikh perbicaraan itu.

Majistret Mohd Nazri kemudian berkata "macam dah klise tiap kali tarikh bicara kamu sakit.
-mstar-

Tiada ulasan: