"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis beri 7 tarikh alternatif debat Zamihan kalau dia ada teloq

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sepatutnya mengiringi Raja Muda Perlis melawat sebuah universiti di Thailand pada 13 dan 14 Februari namun akan memohon perkenan dikecualikan untuk berdebat dengan Zamihan Mat Zin.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melapangkan dirinya pada 7 tarikh alternatif bagi menyahut cabaran pegawai agama Kementerian Dalam Negeri Zamihan Mat Zin yang sebelum ini mencabarnya berdebat "apa-apa saja topik" pada bila-bila masa sekalipun.

Kata Asri, beliau bersetuju untuk berdebat dengan Zamihan antara 11 dan 17 Februari selepas presiden Persatuan Ahli Sunnah Waljamaah itu (Aswaja) itu mendakwa tidak dirunding Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengatur debat mereka pada 10 Februari.

Katanya lagi, beliau sepatutnya mengiringi Raja Muda Perlis melawat sebuah universiti di Thailand pada 13 dan 14 Februari namun akan memohon perkenan dikecualikan untuk berdebat dengan Zamihan.

"Memandangkan UZMZ (Ustaz Zamihan Mat Zin) sering menuduh pelbagai pihak dengan isu keganasan ini, maka saya ingin menyatakan bersetuju dengan salah satu tarikh berkenaan.
"Saya akan memohon keuzuran daripada Raja Muda Perlis jika ditakdirkan UZMZ pilih 13 ataupun 14 (Februari).

"Apa yang penting, hasrat yang sekian lama beliau canangkan itu, saya tunaikan," kata Asri hari ini menerusi laman Facebook DrMaza.com miliknya.

"Selepas tarikh 17 haribulan berkenaan, jika beliau tidak mahu saya akan anggap 'tutup kes'. Saya akan sibuk ke luar negara selepas itu," kata Asri.

Drama perdebatan di antara 2 personaliti agama ini bermula apabila Zamihan pada 4 Februari lalu mendakwa Asri menuduhnya mempengaruhi Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yang melarang mufti itu daripada berceramah di Johor.

Melabelkan Asri sebagai "mufti bermulut celupar", Zamihan mendakwa Asri cuba melabelkan beliau pro Syiah, ekstremis dan melampau dalam melabelkan orang lain kafir.

Beliau kemudian mencabar Asri berdebat dengannya, menyatakan kesediannya "24/7" (24 jam sehari 7 hari seminggu) dan menuntut Asri meletak jawatan sebagai mufti jika kalah dalam debat itu.

Namun, itu bukanlah kali pertama Zamihan mencabar Asri kerana beliau sebelum ini didakwa berulang kali melontar cabaran sama menerusi rakaman video ceramahnya yang disiarkan menerusi YouTube.

Bezanya kali ini, Shahidan yang merupakan menteri besar Perlis sewaktu Asri pertama kali dilantik sebagai mufti negeri itu bertindak mengatur debat di antara mereka pada 10 Februari.

Apabila debat yang diinginkannya hampir menjadi kenyataan, Zamihan menulis di akaun Facebook mengatakan beliau perlu menyampaikan ceramah pemulihan kepada banduan di Penjara Machang, Kelantan.

Kenyataan itu mengundang sindiran sebilangan pengguna Facebook yang menganggap Zamihan cuba mengelak selepas cabaran debatnya disambut Asri.

Terkini, Zamihan dipetik Sinar Harian hari ini sebagai berkata, beliau akan bertemu Shahidan, yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, membincangkan tarikh baru debat yang sebaiknya berlangsung dalam minggu ke-3 Februari.

Beliau turut mengubah pendiriannya yang mahu format debat dibincangkan bersama kedua-dua pihak.

Pendirian itu dinyatakannya kepada Sinar selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan ia dibuat secara tertutup demi mengelakkan fitnah.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: