"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Mat Sabu jelaskan kenapa beliau baling mikrofon atas pentas

Pemimpin pembangkang Mohamad Sabu terkenal dengan pelbagai gimik ketika berucap, tetapi ucapannya malam tadi di depan penjara Sungai Buloh berbeza sama sekali.

Tidak seperti keadaan ceria dengan kisah lucu dan sinis seperti sebelum-sebelum ini, presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu malam tadi tampil serius.

Beliau malah mengakhiri ceramahnya dengan membaling mikrofon ke belakang pentas – tindakan yang mengejutkan banyak pihak.

"Cis! Mari kita bangun!" katanya sambil melontar mikrofon dan berjalan beredar dari pentas tanpa berkata apa-apa.

Mohamad (gambar) bagaimanapun ada penjelasannya kenapa beliau bertindak demikian.

Semuanya semata-mata untuk menunjuk perasaan kesalnya kepada rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu, yang disifatkannya “penakut”.

Negara pembohong

Katanya, isu politik seperti dakwaan rasuah, 1MDB serta wang sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dipandang serius oleh rakyat negara ini.

Keadaan ini, kata Mohamad, berbeza sama sekali dengan keadaan di negara jiran seperti Filipina dan Indonesia yang berani menjatuhkan pemimpin mereka.

"Soal amal makruf nahi mungkar ini tidak masuk ke dalam jiwa orang Melayu yang mana sepatutnya orang Islam perlu ke hadapan dalam isu ini. Tapi tak jadi macam itu dan akhirnya jadi masyarakat 'pak turut'.

"Sampai bila kita nak cerita kehebatan rakyat Filipina, Indonesia? Isu 1MDB ini sekarang diketawakan dunia. Sekejap kata (duit) habis, kemudian bagi balik, lepas itu ada raja kata ia untuk pelaburan.

“Pembohongan pertama ditutup dengan pembohongan kedua dan kemudian pembohongan ketiga.

"Akhirnya Malaysia menjadi negara pembohong," katanya kepada Malaysiakini di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

'Suara jantan, hati betina'

Mohamad antara yang menyertai Himpunan 365 #BebasAnwar di Penjara Sungai Buloh, sempena setahun bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atas kesalahan liwat.

Dalam ucapan malam tadi, Mohamad turut berkata rakyat Malaysia tidak mempunyai keazaman menolak Najib walaupun tanggapan terhadap pentadbirannya teruk.

"Kita masih berdiam diri. Bersuara jantan tapi hati betina," kata Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam ucapannya malam tadi.

Sementara itu, mengulas pendekatan barunya itu, bekas timbalan presiden PAS itu juga berkata, ketegasannya dalam berceramah akan diteruskan bagi memastikan rakyat berubah demi kebaikan.

"Saya akan terus terangkan kepada rakyat dan beri penjelasan. (Saya) akan lebih serius tetapi jenaka itu tetap teruskan," katanya bekas timbalan presiden PAS itu sambil tersenyum.

Rakaman video tindakan Mohamad itu mula dikongsi meluas di Internet dan mengundang pelbagai reaksi.

Ada yang memuji ketegasan beliau tetapi dalam masa yang sama terdapat juga yang mempersoalkan 'akhlak' beliau.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: