"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu bakal diisytihar muflis

Mat Sabu bakal muflis jika gagal bayar Wan Ahmad RM200,000

Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dikatakan sudah menerima notis kebankrapan pada 3 Februari lalu tetapi beliau tidak mematuhinya. 

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berdepan tuntutan muflis selepas gagal melunaskan ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Ganti rugi dituntut selepas Mohamad didakwa memfitnah Wan Ahmad berkenaan berhubung isu "Projek IC" di Sabah.

Menurut Utusan Malaysia, peguam Wan Ahmad, Noor Hazira Abu Haiyan akan memfailkan petisyen pemiutang terhadap Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semula ganti rugi itu berserta faedah.

Menurut Hazira, mahkamah kemudiannya menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan kes tersebut.
“Notis kebankrapan sudah pun diberikan kepada Mat Sabu pada 3 Februari lalu tetapi pemimpin pembangkang itu tidak mematuhinya,” katanya.

Pada 20 Mac 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Mohamad yang ketika itu merupakan timbalan presiden PAS dan bekas setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Wan Ahmad kerana kesalahan memfitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong ketika membenarkan saman Wan Ahmad, memutuskan plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap Mohamad dan Mustafa selaku defendan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Wan Ahmad.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Wan Ahmad terhadap pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, ketua editor akhbar Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel, Aziz Muda.

Terdahulu pada 5 Mac 2013, Wan Ahmad memfailkan saman dengan mendakwa Mohamad mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk "Wan Ahmad Tidak Boleh Dipercayai" dan "Ragu Peranan SPR – Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan" dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Februari 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Januari 2013.

Dalam penyataan tuntutannya, Wan Ahmad mendakwa defendan mengeluarkan perkataan fitnah beliau tidak boleh dipercayai kononnya kerana terbabit dengan pengeluaran kad pengenalan biru dalam "Projek IC" di Sabah.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: