"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Revolusi mikrofon

Jimadie Shah Othman
Di awal 80-an, ceramah Mat Sabu tidak seperti sekarang-sekarang ini – lucu dan penuh gelak tawa.Tiga puluh lima tahun lalu, ceramah Mat Sabu, atau nama sebenarnya Mohamad Sabu, tidak juga seperti malam Selasa yang lalu di depan penjara Sungai Buloh.

Mohamad, presiden parti serpihan PAS Parti Amanah Negara (AMANAH), kelmarin berucap tidak sampai lima minit.

Beliau mulakan ucapan dengan sebuah permohonan maaf kerana keempat-empat anaknya sudah bergelar mahasiswa tetapi tidak menjadi seperti anak-anak siswa di Indonesia.
Beliau juga meminta maaf kerana pengikut pembangkang, yang terdiri daripada petani dan nelayan, tidak keluar berdemonstrasi tiga minggu seperti di Thailand walaupun “ditindas”.

Mohamad memulakan ucapan dengan retorik politik cukup menarik. Tetapi selepas tiga minit, beliau mengambil tindakan yang membuatkan ucapannya itu tidak akan dilupakan.

Semua orang terpinga sebentar, sebelum mereka kemudiannya bersorak dan bertepuk tangan. Seminggu kemudian mereka akan terus membicarakan bagaimana Mohamad membaling mikrofon di atas pentas.

Dalam sorak-sorai itu, di tengah-tengah perbahasan hangat wajar tidak wajar langkah itu, ramai terlupa apa kata Mohamad sebelum mikrofon melayang ke latar belakang pentas:

“Sampai bila kita hendak berkeadaan begini? Usiaku sudah menjelang 60 tahun. Adakah kita pejuang atau untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana. Cis, mari kita bangun!”

Beliau merujuk kepada Anwar yang sudah setahun merengkok di penjara selepas disabitkan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Ditanya Malaysiakini di Petaling Jaya semalam, Mohamad membayangkan ceramah-ceramah beliau selepas ini akan lebih serius – janji yang sekali gus mengingatkan kita pada pendekatannya ketika sedang meningkat naik bersama PAS.

Di tahun-tahun 80-an, dengan penuh tenaga sebagai ketua Pemuda, ditambah lagi kehangatan revolusi Islam Iran yang baru melanda ketika itu, Mohamad yang kita kenal hari ini mungkin tidak sama dengan 35 tahun lalu.

Revolusi di bibir

Ucapannya ketika itu sarat dengan kisah-kisah kebangkitan rakyat di seluruh dunia. Perkataan revolusi meniti di bibirnya.

Malah, sebelum membaca surah al-Asr sebagai tradisi menyuraikan majlis ketika itu, Mohamad akan membimbing laungan “tidak timur, tidak barat, daulah Islamiah” yang membangkitkan semangat penyokong-penyokongnya.

Slogan ketika itu diubah suai daripada ucapan Ayatullah Khomeini pemimpin revolusioner Iran yang menumbangkan pemerintahan 54 tahun dinasti Pahlavi di Iran – sebuah kerajaan sekular yang didakwa badut Amerika.

Mohamad dilihat antara pemimpin kanan PAS ketika itu yang terinspirasi dengan revolusi, yang turut memberi kesan besar kepada proses islamisasi seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Beliau menjadi antara pemimpin penting yang mengetengahkan idea kepimpinan ulama dalam PAS. Malah, konsep Majlis Syura dikatakan diambil daripada idea “Wilayatul Faqih” di negara Syiah itu.

Bagaimanapun, bermula daripada pembentukan Majlis Perunding Cina (CCC) pada 1986 kepada Kelab Penyokong PAS dan terbaru Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), PAS menuju ke arah lebih terbuka dan terangkum (inklusif).

Siapa sangka ada pemimpin kanan PAS ketika itu seperti Datuk Mujahid Rawa yang mungkin lebih banyak melawat gereja (untuk berdialog).

Tetapi kini semuanya tinggal nostalgia. Mohamad dan lebih sedozen pemimpin kanan PAS yang bersama bergabung dalam AMANAH kini mahu menamatkan apa yang mereka rintis dalam PAS: Sebuah idea Islam untuk semua, sebagai rahmat ke seluruh alam.

Bagaimanapun, jalan AMANAH tidak semudah itu.

Jika sebelum ini AMANAH mendakwa permohonan paling ramai menyertai mereka dari Kelantan, negeri pimpinan PAS, PAS pula mendakwa ramai yang kembali ke pangkuan mereka.

Jika selepas Jun lalu, selepas muktamar menyaksikan tumbangnya Mohamad, penyokong PAS di kampung-kampung mula merasakan ada yang tidak kena dengan langkah itu.

Bagaimanapun, dalam himpunan menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) hujung bulan lepas, penyokong PAS membuat bunyi bising ketika nama AMANAH disebut.

Ulama, negara Islam, hudud

Rakyat Malaysia haru mengakui, 35 tahun selepas revolusi Iran, PAS menjadi sebuah parti yang sarat dengan idea kepimpinan ulama, negara Islam dan hudud.

Perjuangan PAS tidak boleh dipisahkan daripada tiga agenda penting ini.

Tiada siapa boleh mengikis kepercayaan ini, hatta mufti seperti Dr Asri Zainul Abidin pun, yang merasakan perbincangan isu hudud tidak strategik ketika berdepan dengan pilihan raya.

Mohamad sebagai orang lama dalam politik sudah tentu sedar hakikat ini.

Beliau sedar AMANAH mungkin kelihatan 'tidak cukup Islam' berbanding PAS. Jumlah pemimpin AMANAH yang berjubah berserban tidak boleh menandingi jumlah mereka dengan imej sama dalam PAS.

Bendera hijau putih putih PAS – warna-warna yang dikaitkan dengan Islam, sedikit sebanyak menonjolkan imej mereka sebagai sebuah parti Islam, berbanding warna rasmi jingga AMANAH yang seperti Hindraf.

Zaman sukar AMANAH ini pernah dilalui bersama PAS 30 tahun lalu ketika mereka hendak berceramah pun tiada tempat.

Mohamad, yang dianggap bersuara emas itu, pasti ingat bagaimana beliau selalu berceramah bawah pokok getah, rumah penyokong atau dalam sawah bendang di musim panas.

AMANAH hari ini perlu sebuah 'revolusi' untuk kekal relevan dalam persada politik tanah air. Untuk itu mereka mesti menonjolkan kekuatan yang tiada pada PAS.

Selepas muktamar lalu, PAS mengambil sikap semakin lunak dengan Umno, termasuk menasihati kerajaan dan bekerjasama dalam isu-isu terpilih.

Ketika inilah Mohamad perlu melawan arus dengan membaling mikofon. Beliau sedar itulah kekuatan AMANAH, bukan inklusif, bukan wasatiyyah.

Petikan Malaysiakini

Tiada ulasan: