"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Mahfuz rasmi jadi ahli Amanah

HAZAYANI ZAKARIA

Muhammad Mujaheed Mahfuz (kiri) ketika menerima sijil keahlian Amanah malam tadi yang disampaikan oleh Datuk Dr Ismail Salleh.
Anak kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar secara rasmi menjadi ahli Parti Amanah Negara (Amanah) apabila menerima sijil keahlian malam tadi.

Muhammad Mujaheed Mahfuz menerima sijil keahlian Amanah daripada Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh sendiri dalam majlis penubuhan penaja Amanah cawangan Along Senibong.

Ismail ketika dihubungi Malaysia Dateline mengesahkan perkara itu dan menyatakan rasa gembira dengan penyertaan Mujaheed ke dalam Amanah.

“Ya, betul Mujaheed sudah menjadi ahli Amanah dan saya sendiri yang menyerahkan sijil keahlian kepada beliau yang hadir ke program malam tadi. Beliau menetap di Kuala Lumpur dan balik beraya di rumah keluarganya,” katanya.

Mujaheed dalam ucapannya selepas menerima sijil malam tadi berkata, beliau menyertai Amanah kerana berasa selesa dengan hala tuju parti itu dan kenal orang-orang yang menyertai Amanah.

“Dalam Pas dulu saya tak aktif secara langsung kerana prinsip saya, selagi ayah saya dalam politik, saya tak mahu aktif secara langsung.

“Tapi saya banyak tolong kerja-kerja belakang tabir terutamanya membantu ayah saya. Saya sertai Amanah kerana saya rasa saya kenal ornag-orang yang ada dalam Amanah ini,” katanya.

Mahfuz yang merupakan bekas naib presiden Pas bagaimanapun masih kekal dalam parti itu walaupun dilihat cenderung kepada Amanah dan sering mengkritik Pas secara terbuka akhir-akhir ini.

Sementara itu, Amanah kawasan Pokok Sena berjaya menubuhkan sebuah lagi cawangan malam tadi iaitu cawangan Alor Senibong dan menerima 30 borang permohonan menyertai Amanah daripada penduduk kampung tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Amanah Pokok Sena Omar Awang, timbalan ketua Yaakob Ismail, setiausaha Yusuf Sanoyan dan ahli jawaankuasa Amanah Kedah Mahmud Zaim.

Ismail berkata, Alor Senibong merupakan cawangan keenam yang ditubuhkan dan sebanyak lima lagi cawangan akan ditubuhkan dalam masa terdekat ini.

Tiada ulasan: