"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haron Din disemadikan di Carlifornia

BERITA pemergian Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din yang diterima pagi Jumaat cukup dirasai seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

Ucapan takziah dan rasa sedih dikongsi tanpa henti di media sosial sejak berita pemergiannya diketahui umum.

Tidak terkecuali barisan pemimpin Pas yang turut sempat mengutus doa dan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa dukacita dan takziah melalui kemas kini status di Facebooknya sebaik sahaja menerima berita sedih itu, hari ini.

“Mewakili Pas saya melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din, Mursyidul Am Pas yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Stanford University, AS.

“Ya ALLAH, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia,” tulis beliau.

Sementara, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini masih berada di tanah suci turut berkongsi kesedihan sama.

“Dari ALLAH kita datang dan kepada ALLAH kita akan kembali...

"Semoga ALLAH cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin,” katanya.

Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pula turut memanjatkan doa agar ALLAH mengampuni dan merahmati Allahyarham.

“Takziah buat keluarga dan sanak saudara. Semoga dikurniakan kesabaran dan kekuatan menghadapi saat yang sukar dan sedih.

“Matinya orang alim, matinya alam. Mari kita hidupkan alam ini dengan ilmu dan iman. Ambillah ilmu daripada ahli ilmu. Ambillah takwa daripada ahli takwa. Ambillah istiqamah daripada ahli istiqamah. Ambillah qudwah daripada ahli qudwah,” ujarnya.

Timbalan Ketua Dewan Ulama Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani pula mencoret, beliau masih terbayang-bayang senyuman Allahyarham.

“ALLAH lebih menyayangi beliau, Innalillahiwaiinailaihirajiun. Alam ini menjadi sayu lagi, tiada kata yang mampu diucap, tiada kalimah yang mampu dibaitkan lagi. Kembalilah Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din di pagi Jumaat ini, saat jam 10.10 minit pagi tadi.

“Saya masih ingat senyuman yang terukir indah, saat saya bercerita tentang umur insan ini..."nyawa kita ini dalam genggamanNya...doakanlah saya" tuturnya dengan lafaz yang sayu... moga ALLAH merahmati dan letakkan beliau dalam kalangan hambaNya yang soleh. Innalillah,” tulisnya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat, pagi ini akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata. Allahyarham mula menjawat jawatan sebagai Musryidul Am Pas tahun lalu selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983). Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
-sinarharian

Haron Din disemadikan di Carlifornia

SHAH ALAM - Jasad Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din bakal disemadikan di bumi Carlifornia bersesuaian dengan amanatnya sebelum ini.

Melalui satu kemas kini di Facebook rasmi Allahyarham, ahli keluarganya memaklumkan perkara itu.

Menurutnya, keputusan itu diambil kerana mereka mahu menguruskan jenazah Allahyarham dengan cepat dan sempurna.

“Baba akan disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk membawa baba balik ke Malaysia. Semua pilihan ada pro dan kontra. Kami berbincang dan menimbang semua itu. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat.

“Kami memilih untuk menguruskan jenazah Baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan Baba di California,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan pada pagi Jumaat waktu Amerika Syarikat dan dikafankan sebelum disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid An-Nur, Santa Clara, California.

Allahyarham dilaporkan telah mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di Perlis untuk mengebumikannya di Amerika Syarikat jika ditakdirkan meninggal dunia di negara itu.

Sementara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah berhubung dengan keluarga Allahyarham mengenai perkara itu.

“Baharu bercakap dengan keluarga Tuan Guru Dr Haron Din. Keluarga sepakat pengebumian di San Francisco. Solat jenazah di Masjid AnNur di sana,” tulisnya di Twitter.

Sebelum ini Ahmad Zahid memaklumkan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menguruskan jet untuk membawa jenazah pulang ke tanah air.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pagi ini kira-kira jam 10.05 pagi pada usia 76 tahun di Hospital Stanford University Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung yang kritikal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Tiada ulasan: