"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Video: 5,000 sertai solat jenazah ghaib untuk Dr Haron Din


Kira-kira 5,000 jemaah hari ini menyertai solat jenazah ghaib untuk Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia semalam.

Solat jenazah ghaib itu diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pagi ini.

Solat bermula pada kira-kira jam 9.25 pagi diimamkan oleh cucu agamawan itu, Hakeem Hamdi, 17 tahun.

Turut hadir pada majlis solat jenazah ghaib itu ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yaakob; Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dan Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos.

Suasana sugul dan sedih menyelubungi dewan solat utama ketika imam besar masjid Shah Alam, Muhammad Farhan Wijaya membacakan doa.

Malah, turut kelihatan ahli jawatankuasa PAS Ridhuan Mohd Noor turut menangis ketika Hadi berucap selepas solat jenazah dilakukan.

Dalam ucapannya, Hadi memberitahu bahawa Allahyarham merupakan seorang ulama yang menghabiskan hayatnya untuk Islam.

Malah, anggota parlimen Marang itu turut menyarankan agar orang ramai mengambil pengajaran dan iktibar daripada sumbangan allahyarham kepada Islam.

"Almarhum Haron Din adalah seorang ulama yang telah habiskan umurnya untuk Islam. Sekiranya ingin ambil pengajaran dan iktibar, ambillah pengajaran dari mereka yang sudah meninggal dunia yang akhirnya hayatnya dengan sebar ilmu, sebar Islam dan memberi sumbangan pada Islam," kata Hadi dengan wajah yang sugul.

Hadi turut meminta sekiranya allahyarham mempunyai kesalahan agar orang ramai memaafkannya kerana menurut Hadi, manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan.

"Bagi pihak PAS dan keluarga, saya meminta sesiapa yang ada apa-apa kesilapan almarhum lakukan kesalahan, kerana manusia tak lari dari kesalahan, kalau ada diminita memaafkan.

"Mudah-mudahan kita dapat pahala dengan memaafkan orang," ujar Hadi lagi.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung dan disemadikan di sana.

Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Allahyarham mula bergiat aktif dalam PAS sejak 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Beliau dipilih sebagai Mursyidul Am PAS selepas pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.
-malaysiakini

Tiada ulasan: