"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Darah naik 5 jam! Husni kongsi cerita

PENGUNDURAN bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada Kabinet dan Umno menimbulkan tanda tanya banyak pihak.Sebelum ini, Ahmad Husni pernah berkata hanya mahu tumpu tugasnya sebagai ahli parlimen tanpa mengulas lanjut tentang tindakan diambilnya.


Sinar Harian berpeluang bertemu Ahli Parlimen Tambun itu mengenai perkembangan terbarunya dan sudi menceritakan detik-detik yang membawa beliau mengambil keputusan berundur.

Bila Datuk Seri lepaskan semua jawatan kerajaan dan parti, kecuali sebagai wakil rakyat, masih ramai yang tidak puas hati dengan kenyataan ringkas Datuk Seri. Boleh ulas sedikit apa yang mendorong kepada tindakan itu?

Saya ada terfikir untuk letakkan jawatan tahun lalu. Saya tetapkan pada Januari 2016 sebagai tarikh akhir dalam Kabinet. Saya telah bincang dengan setiausaha politik menyatakan rasa tidak serasi dengan pembawaan pimpinan. Bila tiba Januari, saya rasa tidak tergamak pula untuk meletakkan jawatan, saya terus berkhidmat. Kemudian, pada April lalu niat hendak meletak jawatan kembali dan semakin kuat. Pada awal April itu, saya membeli alat bacaan tekanan darah untuk isteri bila pulang dari pejabat. Tiba di rumah jam 7 malam, saya pasang pada tangan saya untuk tunjuk pada isteri cara hendak menggunakan alat tersebut. Tetapi, saya pula yang terkejut apabila bacaan tekanan darah saya begitu tinggi.

Saya pergi ke Damansara Specialist Hospital. Doktor memeriksa kesihatan saya dengan rapi. Pada jam 12 tengah malam, tekanan darah mula turun. Saya merasa pelik mengapa tekanan darah saya tinggi selama 5 jam (7 petang hingga 12 malam). Tak pernah berlaku dalam sejarah hidup saya. Doktor membenarkan saya pulang pada jam 2.30 pagi, memberi cuti 3 hari dan minta saya datang semula untuk rawatan lanjut pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat, alhamdulillah, pemeriksaan menunjukkan jantung, darah dan air kencing tiada masalah. Saya juga tiada penyakit darah tinggi. Kesihatan saya baik. Kata doktor tekanan darah tinggi berpunca dari stres, kurang tidur dan kurang rehat.

Apa yang Datuk Seri fikir selepas doktor beritahu tekanan darah tinggi itu berpunca daripada stres?

Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada. Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam Kabinet atau tidak? Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?

Pada hari Sabtu, saya terbang ke Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean. Tengah hari, saya tidak berapa sihat. Saya beritahu pegawai-pegawai, saya tidak mampu untuk hadir mesyuarat pada sebelah petang. Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata, “Semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?” Kata-kata itu membuka mata hati saya...harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega. 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hati saya.

Setahu kami Datuk Seri seorang banker, kenapa Datuk Seri terlibat politik?

Setelah beberapa tahun bekerja di bank, saya bertukar kerjaya dan bekerja di anak syarikat sebuah agensi milik Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1980-an. Di situ saya terdedah dengan tingkah laku sesetengah pemimpin yang menggunakan syarikat tersebut untuk mengumpul kekayaan. Atas penentangan ke atas amalan tersebut, saya laporkan kepada pucuk pimpinan. Tiada tindakan diambil, malah suatu hari seorang pegawai kanan agensi menelefon dan berkata kepada saya, “Awak duduk dalam kapal lanun. Ingat awak boleh jadi imam? Mampus awak!” Mungkin beliau berseloroh, tetapi saya ambil kenyataan itu serius, lalu saya kembali semula bekerja di sektor perbankan.

Beberapa bulan kemudian isteri saya bersalin anak sulung. Saya berada di sisi isteri dan baru saya sedar betapa seksa melahirkan seorang anak. Tiba-tiba saya terbayang apa masa depan anak saya di bawah pimpinan seperti tadi? Selepas membaca azan dan iqamat, saya berjanji pada anak, “Bapak akan jaga kamu.” Sejak itu, saya menyertai politik.

Saya dididik oleh bapa yang bekerja di Jabatan Agama Islam. Beliau juga seorang imam dan mengajar al-Quran. Ibu membantu bapa mengajar anak-anak muridnya membaca al-Quran. Saya terdedah kepada pengajian ilmu Tauhid, Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Pemahaman saya, seorang pemimpin mestilah bersikap lurus dan tegas. Keutamaan pemimpin adalah kebajikan rakyat. Berteraskan kejujuran, keikhlasan dan integriti, maka setiap sen mestilah dibelanjakan untuk rakyat.

Dalam ucapan saya di Parlimen pada 15 Februari 2000, saya menekankan, “Kita hendaklah melahirkan individu yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.”

Kontroversi 1MDB sedikit sebanyak terpalit kepada Datuk Seri yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan ke II. Apa komen Datuk Seri?

Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada tahun 2009. Saya tidak dirujuk walaupun saya Menteri Kewangan II. Bila saya dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB? Pada faham saya, penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Saya tidak dilibatkan dalam urusan 1MDB sehinggalah pada tahun 2015. Pada awal tahun 2015 saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif. Dengan izin ALLAH SWT, dengan bantuan SUSK, kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB, namun saya tidak terlibat dalam perlaksanaan Pelan Rasionalisasi tersebut.

Saya berharap masalah 1MDB akan selesai. Saya berdoa agar setiap discrepancies dalam 1MDB dapat diatasi. Kita semua faham sebarang perkembangan negatif boleh menjejaskan rating negara yang akan membawa kepada kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat. Begitu juga dengan SRC, saya berharap akan diselesaikan segera. Dalam konteks kewangan kerajaan, uruslah secara berhemah. Pemberian tender hendaklah secara telus. Projek PPP mestilah dikaji mendalam dari konteks value for money. Kerajaan hendaklah menyediakan unjuran kewangan jangka panjang melihat akan kemampuan kerajaan membayar hutang dari projek PPP. Kita mesti ingat Hasil Pendapatan Negara pada masa depan tidak semewah seperti pada masa lalu.

Mengapa tiba-tiba Datuk Seri mengambil keputusan meletakkan semua jawatan?

Seminggu sebelum saya berundur dari Kabinet iaitu pada 21 Jun 2016, saya ke Jeddah bagi menghadiri mesyuarat bilateral dengan Presiden Islamic Development Bank (IDB). Sesampai saya ke hotel di Jeddah pada Isnin, jam 8.30 malam, seorang hamba ALLAH menemui saya untuk membawa saya mengerjakan umrah. Kami sampai di Makkah pada jam 2 pagi. Saya diperkenalkan kepada polis Masjidil Haram. Dengan bantuan polis Masjidil Haram saya selesai tawaf dalam waktu yang singkat. Selama setengah jam, walaupun di tengah-tengah ribuan orang yang melaksanakan tawaf semacam musim Haji. Ini kelaziman dalam bulan Ramadan.

di situ saya menunaikan solat sunat. Kemudian dibawa ke Hajar Aswad, saya menciumnya. Keseluruhan umrah selesai dalam 1 jam 10 minit. Setiba di bilik Hotel di Jeddah, saya duduk berfikir. Mengalir air mata mengenangkan diri saya seorang yang kerdil dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, bagaimana saya boleh menjadi tetamu yang istimewa di Makkah? Kekuatan kerohanian saya bertambah kukuh. Tiba-tiba terfikir apakah saya masih patut duduk dalam Kabinet?

Niat untuk berundur telah bermain dalam fikiran sejak beberapa bulan. Akhirnya, saya memutuskan untuk terus berkhidmat sehingga PRU ke-14 dan Kementerian Kewangan sebagai kementerian terakhir sebelum saya berundur dari Kabinet. Saya berfikir saya harus membantu YAB Perdana Menteri, saya harus hadapi semua risiko yang berkait dengan 1MDB dan SRC. Saya sedar bukan mudah duduk di Kementerian Kewangan. Kadangkala, ada individu-individu yang menghentam saya kerana tidak meluluskan permohonan tender secara rundingan terus dan tender terhad. Saya berpendirian tugas yang saya pikul adalah suatu amanah dari kerajaan dan Ilahi. Amanah ini harus saya pikul

berprinsipkan good governance. Saya berpegang kepada pendirian bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat.Selepas balik dari Jeddah, saya hadir satu mesyuarat. Mesyuarat ini diadakan 4 hari sebelum saya berundur dari Kabinet.Dalam mesyuarat itu, saya membangkitkan kebimbangan atas kejatuhan ranking negara dalam laporan rasuah Transparency International. Saya menyatakan sistem tender kita mestilah lebih telus. Saya dihentam. Peristiwa ini menyedarkan saya betapa di dunia ini terdapat elemen hipokrit. Saya menjangkakan konklusi mesyuarat tentulah saya diminta untuk menyediakan laporan dan cadangan yang lebih lengkap.

Yang akhirnya, pada pagi Isnin, 27 Jun lalu, semasa di pejabat, saya terkejut membaca sebuah akhbar bahawa saya akan dipindahkan ke kementerian lain dalam rombakan Kabinet yang akan dilakukan pada hari itu. Saya tidak dimaklumka lebih awal?

Nasib baik pada jam 11.30 pagi ada mesyuarat Majlis Ekonomi. Selepas mesyuarat pada jam 1.15 tengah hari, saya bertanya PM adakah benar beliau akan menukar saya ke kementerian lain seperti dilaporkan akhbar berkenaan?

PM menyatakan saya akan ditukar ke kementerian lain. Perbincangan itu mengambil masa dalam 2 minit. Saya mohon untuk berundur dari Kabinet.

Mengapa? Pertama, saya telah tanamkan dalam hati sejak umrah seminggu lalu, Kementerian Kewangan adalah kementerian terakhir sebelum saya bersara dari Kabinet. Kedua, saya tidak mampu menjadi pemimpin efektif berkhidmat di kementerian lain dalam tempoh 1 1/2 tahun sehingga PRU14. Selaras dengan itu, saya mengundurkan diri dari Kabinet dan oleh kerana saya merasakan tidak sesuai lagi memegang jawatan dalam parti, saya meletakkan semua jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, saya masih Ahli Parlimen Tambun. Bagi jawatan ahli parlimen, saya dipilih rakyat, saya harus memegang amanah itu dan sanggup berkorban untuknya.

Setelah semuanya berlalu, apa harapan Datuk Seri?

Kita mesti melihat ke hadapan. Akhirnya masa hadapan kita ditentukan oleh ALLAH SWT. Sebagai ahli parlimen,

saya akan tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Atas kedudukan sebagai Ahli Perundangan (Legislator), saya sedang membuat persiapan, apakah soalan-soalan dan ucapan-ucapan untuk menghadapi persidangan parlimen pada Oktober ini.

Saya masih memegang jawatan Presiden Asian Forum For Parliamentarian On Population And Development (AFPPD), Malaysia dan Timbalan Presiden Inter- Parliamentary Union, Malaysia. Saya telah bincang dengan pegawai-pegawai Parlimen untuk mengaktifkan peranan AFPPD.

Sekarang saya kerap memberi ucapan kepada pelbagai golongan, termasuk golongan muda, intelektual dan profesional.

Pada 26 Ogos yang lalu, saya diundang dan menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan Australian National University di Canberra, Australia. Saya

berucap di bawah tajuk ‘Malaysia...A Political Journey’. Saya dapati di Australia juga, isu 1MDB begitu panas dibincangkan. Semasa naik teksi pun, pemandu teksi turut bertanya isu 1MDB.

Di Parlimen nanti, saya akan menyuarakan prinsip good governance yang harus menjadi asas kepada pemerintah untuk membawa kesejahteraan kepada masa depan negara dan rakyat. Kerajaan hendaklah bersih, cekap dan amanah berpegang kepada prinsip digniti dan integriti supaya rakyat boleh berpaut demi masa depan mereka. Alangkah indahnya

dunia jika semua ini terjadi? Saya petik semula ucapan saya di Parlimen pada tahun 2000, pemimpin mestilah mempunyai ‘sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.’ Setiap sen dibelanjakan mestilah ke arah membina kesejahteraan serta kematangan negara dan rakyat. Jauhi kepentingan diri demi cintakan agama, negara dan rakyat.
-detikdaily

Tiada ulasan: