"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Kazim dimasukkan ke hospital


Ipoh – Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias dimasukkan di sebuah hospital swasta selepas mengadu penat dan tidak sihat di rumahnya, di sini, hari ini.

Rakan baiknya, Lim Yean Meng, 55, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya pada jam 7.30 pagi sebelum Mohd Kazim dibawa ke wad kecemasan hospital berkenaan pada jam 8 pagi untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, Mohd Kazim dijadualkan untuk merasmikan majlis graduasi Tadika Nurul Barakah serta menyampaikan ceramah agama di Pusat Pendidikan Al Barakah pagi ini.

“Bagaimanapun, kesihatan beliau (Mohd Kazim) tidak mengizinkannya untuk menghadiri majlis tersebut dan perlu dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kelmarin Mohd Kazim telah mengadakan ceramah perdana bertajuk ‘Dosa Yang Diviralkan’ di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Khamis lalu di Mini Stadium Pendang, Kedah.

Sementara itu, menerusi Facebook rasmi beliau Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias yang dimuat naik tiga jam lalu berkata, Mohd Kazim telah dikejarkan ke hospital pagi tadi.

“Pemeriksaan sedang dijalankan. Mari kita sama-sama berdoa mohon Allah melindungi beliau dan memberi kesembuhan.

“Buat masa sekarang pelawat tidak dibenarkan melawat,” katanya. – Sinar Harian

Tiada ulasan: