Kota Tinggi – Sebuah bas membawa pekerja Rapid, Pengerang terbakar selepas terkena kabel elektrik yang putus dalam kejadian di simpang lampu isyarat berhampiran stesen minyak BHP Jalan Kota Tinggi ke Sungai Rengit, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berpunca apabila sebuah lori telah melanggar tiang elektrik di kawasan tersebut.
Menurutnya, akibat daripada itu kabel elektrik telah putus dan terkena bas yang berada di situ sebelum menyebabkan kebakaran berlaku.
“Ketika kejadian berlaku cuaca hujan. Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan. Anggota Balai Polis Sungai Rengit dan Pengerang turut bertindak mengawal lalu lintas.
“Keadaan di tempat kejadian terkawal walaupun berlaku sedikit kesesakan lalu lintas. Ekoran kejadian itu, bekalan elektrik sekitar kawasan tersebut juga terputus,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Isa Kamisan berkata, seramai lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.06 petang.
Katanya, sebaik sampai di lokasi api sedang marak membakar bas berkenaan sebelum pihaknya berjaya mengawal api dalam tempoh 13 minit.
“Tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu manakala pemandu bas berusia 40 tahun juga sempat menyelamatkan diri.
“Api marak membakar keseluruhan bas. Kita berjaya menamatkan operasi pada jam 7.20 petang. Pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan anggaran kerugian,” katanya.
-Sinar Harian
-Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan