"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lepas 'pertelingkahan' dengan timb menteri, polis iring MP keluar dari kawasan PKPD

Hariz Mohd

Polis mengiringi Anggota Parlimen Batu P Prabakaran untuk keluar dari kawasan Sri Murni di Kuala Lumpur, yang telah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Seorang wakil PKR memberitahu Malaysiakini yang Prabakaran dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Prabakaran berkata insiden itu berlaku selepas "pertelingkahan" dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara.

"Saya ke sana dengan kebenaran polis, untuk menjalankan tugas sebagai anggota parlimen. Apabila saya masuk ke dalam, saya ke pusat kawalan (command centre) dan Edmund berada di sana.

"Saya minta beliau menimbang untuk meletakkan Jabatan Kebajikan dalam keadaan bersedia untuk membantu penduduk, yang merungut tiada makanan yang cukup.

"Tapi beliau minta saya pergi dari situ," dakwanya, sambil menambah ia membawa kepada pertikaman lidah antara mereka.

Apabila meninggalkan pusat itu, Prabakaran berkata polis memintanya untuk mengikut mereka ke IPD.

Pada masa ini tidak jelas sama ada Prabakaran telah ditahan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Sentul S Shamugamoorthy berkata beliau berada dalam mesyuarat dan tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

'Prabakaran berbohong'

Sementara itu, setiausaha sulit Santhara, R Dineshwaran menafikan dakwaan itu.

Menurutnya, Prabakaran masuk ke pusat itu ketika Santhara mempengerusikan mesyuarat berkenaan PKPD dengan polis dan pihak berkuasa kesihatan.

"YB (Santhara) dengan sopan memintanya untuk tunggu sehingga mesyuarat selesai. Dia berbohong," kata Dineshwaran, dalam reaksi segeranya berkenaan dakwaan Prabakaran.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan kawasan kejiranan berdekatan pasar borong Kuala Lumpur telah dikenakan PKPD.

Kawat berduri dipasang di pintu masuk pasar borong itu, yang terletak berdekatan bulatan Batu Caves, sehingga ke pangsapuri Sri Murni.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob kemudian mengesahkan PKPD melibatkan lapan kawasan dan dikuatkuasakan sehingga 3 Mei.

Tiada ulasan: