"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

WHO beri amaran musibah bakal terjadi sekiranya perintah berkurung dikurangkan

MALAYSIA DATELINE
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa musibah bakal terjadi berhubung Covid-19 ekoran tindakan beberapa negara mula melonggarkan peraturan khusus bagi memerangi pandemik itu.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus, bagaimanapun tidak memperincikan lebih lanjut mengenai sebab beliau berpendapat sedemikian.

Pada masa ini, Covid-19 telah menjangkiti 2.5 juta penduduk dan meragut lebih 166,000 nyawa di seluruh dunia.

Tedros dan beberapa pakar lain sebelum ini memberi petunjuk akan kemungkinan Covid-19 tersebar di benua Afrika yang sistem kesihatannya masih kurang membangun.

“Percayalah. Perkara lebih buruk menanti kita.

“Mari kita berusaha mencegah tragedi ini. Ia adalah virus yang masih tidak difahami ramai orang,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat WHO, di Geneva, semalam.

Sesetengah negara Asia dan kerajaan di Eropah mula melonggarkan beberapa langkah perintah berkurung seperti kuarantin, penutupan sekolah dan perniagaan serta larangan untuk berhimpun, dengan memberikan penurunan jumlah kes atau kematian sebagai faktor.

Lapor Agensi, Tedros dan agensi pimpinannya berada dalam keadaan tegang selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada minggu lalu mengarahkan pendanaan negara itu kepada WHO dihentikan.

AS adalah penyumbang dana terbesar kepada agensi kesihatan bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Trump antara lain mendakwa WHO gagal berkongsi dan bersikap telus dalam penyaluran maklumat mengenai wabak itu sejak ia dikesan di China pada akhir tahun lalu.

“Tidak ada sebarang rahsia di WHO kerana merahsiakan perkara seperti ini amat berbahaya. Ia adalah soal kesihatan dan keselamatan manusia sejagat,” katanya.

Tiada ulasan: