Malaysiakini
'Belajarlah melihat dengan cinta...'
Pendakwah bebas, Ebit Lew, membuat permohonan maaf terbuka kepada pihak yang kurang senang dengan kerja amal yang dilakukannya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebooknya, Ebit Lew berkata dia hanya seorang lelaki Cina yang masih belajar tentang Islam dan tidak berniat untuk menyakitkan hati mana-mana pihak.
"Saya jahil, tak pandai. Saya bukan ustaz. Saya bukan sesiapa. Cuma Cina belajar Islam.
"Terima kasih semua, terlalu ramai guru, keluarga dan sahabat mendoakan dan beri semangat. Allah sahaja balas semuanya.
"Saya sekali lagi minta maaf pada semua. Saya tak berniat nak sakitkan hati sesiapa pun. Betul ni, maafkan saya yer semua. Saya pohon maaf pada semua yer.
"Doakan, terlalu ramai lagi orang memerlukan bantuan dan sokongan. Bagaimana kita boleh lena sedangkan ada orang tidak dapat tidur lena kerana nasib mereka dengan kita tak sama," tulisnya.
Nama Ebit Lew bukanlah asing dengan kerja amalnya selain giat mengadakan seminar di merata tempat selama ini.
Bantu ikut kemampuan sendiri
Semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sekarang beliau terlibat secara aktif menghulurkan bantuan kepada pihak, termasuk kakitangan barisan depan serta orang ramai.
Beberapa hari lalu Ebit Lew dibayangi kontroversi selepas melawat sebuah keluarga daif di Derga, Kedah. Antara lain penduduk setempat menjadi kecaman orang luar yang menyangka mereka tidak mengendahkan keluarga terbabit.
Beberapa pihak - termasuk kerajaan Kedah dan Lembaga Zakat Kedah - kemudian tampil menjelaskan keluarga berkenaan memang menjadi penerima bantuan tetap.
Keluarga berkenaan juga sudah dipujuk supaya berpindah ke rumah baru yang disediakan namun gagal.
Kata Ebit Lew apa yang boleh dilakukan semua pihak ketika ini ialah membantu orang yang memerlukan mengikut kemampuan masing-masing.
"Belajarlah melihat dengan cinta, mendengar dengan cinta, melalui hidup dengan cinta.
"Janganlah menyalahkan sesiapa kerana setiap kita bertanggungjawab atas diri kita dan masyarakat kita di depan Allah nanti," katanya.
Sementara itu pengguna media sosial juga menyatakan sokongan kepada pendakwah terbabit.
Misalnya pengguna Twitter bernama @emmardhiahh yang berkongsi kisahnya dengan Ebit Lew yang juga jirannya.
“Ustaz Ebit Lew ni jiran saya. Setahun lalu, dia pernah ketuk rumah aku untuk ajak keluarga makan rumah terbuka aqiqah anak dia. Tidak pernah sangka beliau akan jadi hebat sebegini dan saya gembiranya untuknya,” ciapnya.
Sudah pindah rumah baru
Pengguna bernama @HafizRayyan turut mempertahankan kerja amal yang dilakukan oleh Ebit Lew.
“Kalau rasa tidak boleh nak bantu orang susah, dengki & busuk hati. Itu hal kau. Tapi tolong, jangan ganggu Ustaz Ebit Lew. Dia sedang berusaha membantu orang susah, jangan jatuhkan dia!” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Kedah, Tan Kok Yew, berkata keluarga itu sebelum ini ditawarkan berpindah ke dua rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Mergong namun ditolak atas alasan tertentu.
"Pada awal tahun ini, keluarga tersebut sudah bersetuju untuk berpindah namun mereka berubah fikiran pada saat akhir dan enggan berpindah pula sehinggalah Ustaz Ebit Lew berjaya memujuk mereka berpindah," katanya.
Sementara itu, BH Online hari ini melaporkan keluarga terbabit sudah berpindah ke rumah baru dan mengucapkan terima kasih kepada Ebit Lew.
“Memang kami seronok dapat berpindah dari rumah lama yang sudah rosak dan bocor terutama cucu yang dapat bermain di kawasan sekitar rumah ini,” jelas kata Jamaliah Rejab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan