"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rakaman video dan audio arahan politikkan bantuan Felda tersebar luas

AMNI JAGAT

Tersebar luas video dan audio perbualan antara dua individu yang menyatakan berkenaan dengan 6,000 bantuan oleh FGV kepada peneroka Felda yang didakwa telah dipolitikkan.

Rakaman video dan audio yang berdurasi 2 minit 45 saat itu telah tersebar sejak dari semalam ke talian ‘whatsapp’ dan ‘facebook’ terutamanya yang melibatkan ‘pages’ peneroka di negara ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Tenggara, Ridhuan Esa melalui kenyataan media beliau mendakwa bahawa dengan jelas penama VIP telah disebut dalam rakaman berkenaan.

Katanya, VIP tersebut seolah-olah memberi arahan untuk keutamaan bantuan yang akan diedarkan kepada senarai yang telah diberikan.

“Jelas ia menyebut pengurusan Felda, FGV serta penglibatan Menteri, Ketua Menteri sebuah negeri dan Wakil Rakyat atau Adun dalam rakaman berkenaan.

“Dalam keadaan bencana sebegini, tidak sepatutnya pengagihan bantuan dipolitikkan serta dikawal atas kuasa penjawatan tertentu.

“Warga Felda terutama generasi yang tinggal dirancangan menerima kesan yang besar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mereka memerlukan bantuan berterusan sehingga PKP ini berkahir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga generasi kedua Felda berkata audio perbualan itu telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap pengurusan serta matlamat bantuan itu disalurkan.

Tambahnya lagi, perkara ini perlu diambil tindakan segera berikutan keadaan peneroka yang memerlukan bantuan bagi penerusan kehidupan harian mereka.

“Perkara ini perlu disiasat oleh pihak berkuasa kerana ia dilihat seolah-olah ada campur tangan pihak ketiga serta penyalah gunaan kuasa dalam pengagihan bantuan oleh syarikat berkaitan kerajaan.

“Sebelum ini FGV telah mengagihkan 13000 bantuan dan hanya melibatkan peneroka di negeri Terengganu melalui Adun dan Ahli Parlimen.

“Ia dilihat seperti agihan bantuan dipolitikkan pada wakil rakyat dan bantuan kepada setiap negeri sepatutnya diagih oleh Felda sebagai agensi yang bertanggungjawab,” katanya lagi.

Tiada ulasan: