"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Annuar Musa dah buat keputusan sertai PAS, kata sumber

N Faizal Ghazali

Bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, dikatakan sudah memilih 'bahtera' baru untuk meneruskan perjuangan politiknya dengan menyertai PAS.

Ia dibuat hanya beberapa bulan selepas dia dipecat dari Umno selepas dilihat terus 'melawan' kepemimpinan yang ada dalam parti tersebut.

Menurut sumber, Annuar yang pernah menjadi menteri sama ada semasa BN atau PN menjadi kerajaan sudah pun mengisi borang keahlian PAS.

Bagaimanapun, katanya, Annuar bercadang untuk mengumumkan penyertaan tersebut selepas Aidilfitri nanti.

“Setakat ini Annuar dah buat keputusan untuk sertai PAS cuma tunggu masa untuk dia buat pengumuman rasmi.

“Difahamkan beliau akan umumkan perkara itu selepas sambutan Aidilfitri nanti sebagai langkah membangkitkan mood pilihan raya negeri (PRN),” kata sumber yang enggan namanya disiarkan Malaysiakini.

Sumber yang rapat dengan Annuar itu memaklumkan mereka turut tidak menolak kemungkinan Annuar akan menjadi salah seorang calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Kelantan nanti.

“Tak mustahil dia (Annuar) akan bertanding dan PAS sendiri boleh menaruh harapan terhadap pengaruh serta pengalaman Annuar,” katanya.

Annuar dipecat daripada Umno pada Dis tahun lalu.

Tak nak cakap hal politik

Dia sebelum ini dilihat antara tokoh Umno yang menggesa kerjasama parti itu dengan PAS dan Bersatu dalam PN dan ia bertentangan dengan ketetapan dibuat pemimpin parti.

Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama sejumlah ketua Umno bahagian lain menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

Pada peringkat awal bekas ahli parlimen Ketereh itu dilihat mahu menggerakkan pertubuhan dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Beberapa tokoh politik juga menyertai MN termasuk bekas ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin

Namun tidak lama kemudian Annuar menyatakan hasrat untuk kembali berparti.

"Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

"Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka," katanya dalam catatan Facebook baru-baru ini.

Sementara itu Annuar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini memaklumkan dia kini berada di Makkah dan enggan mengulas lanjut.

“Maaf Saya di Makkah, tak berhasrat bercakap hal politik,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan sumber PAS Kelantan turut memberi gambaran positif berhubung perkara itu.

“Dalam proses, Insya-Allah,” katanya ringkas.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada kepimpinan tertinggi PAS berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: