"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raih RM1.2 juta hasil seludup PATI, nampak macam miskin

KIM SYAZIE

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan haram tiga beradik yang menjadi dalang sindiket penyeludupan ribuan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke dalam negara sejak tahun 2018.

Apa yang mengejutkan, hasil risikan badan pencegah rasuah itu mendapati duit diperoleh hasil kegiatan haram itu sama sekali tidak disimpan di dalam bank sebaliknya ia terus dipindahkan ke luar negara.

Tiga beradik wanita itu juga didapati tidak mempunyai simpanan wang dalam jumlah yang besar dalam akaun bank mereka, menurut sumber seperti dilapor Harian Metro.

Suspek yang diberkas SPRM dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Khamis lalu dipercayai memindahkan wang diperolehi hasil kegiatan jenayah itu ke negara jiran secara tunai.

“Berlaku transaksi yang amat kerap menunjukkan wang berkenaan sentiasa dikeluarkan dari dalam akaun bank milik suspek.

“Malah, lebih menghairankan ketiga-tiga suspek tidak menunjukkan kemewahan luar biasa walaupun risikan mendapati suspek sudah mengumpul lebih RM1.2 juta hasil dari kegiatan jenayah dilakukan,” katanya.

Menurutnya, suspek hanya mendiami rumah biasa dan tidak menggunakan kenderaan mewah atau memperagakan barang kemas.

“Suspek bergerak menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) model lama Toyota. Ia mungkin digunakan untuk memudahkan pengangkutan Pati. Berdasarkan risikan ramai antara Pati yang berurusan dengannya berasal dari Pulau Basilan dan Pulau Tawi Tawi terletak di selatan Filipina. Mereka menggunakan bot untuk menyusup masuk ke perairan Sabah sebelum berurusan dengan suspek yang menetap di Tawau, Sabah.

“Malah, suspek turut dikesan kerap mengunjungi pulau di selatan Filipina. Ada kemungkinan suspek mempunyai saudara-mara di sana (selatan Filipina) berikutan salah seorang suami suspek adalah warga asing berstatus pelarian,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan, wang keuntungan diperoleh hasil kegiatan itu dipindahkan ke negara jiran untuk membeli aset atau disimpan di sana.

“Ketika ini tiga beradik wanita itu masih ditahan reman sehingga Rabu ini. Soal siasat masih diteruskan terhadap mereka,” katanya.

Harian Metro pada Jumaat lalu mendedahkan secara eksklusif kejayaan SPRM dan JPN membanteras sindiket yang menyeludup pendatang tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung menerusi Ops Lancar yang dilaksanakan, Khamis lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata, hasil operasi itu 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau, Sabah.

Tiada ulasan: