"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serang peniaga burger, lelaki mabuk, 3 lagi direman

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki tempatan bersama tiga lagi individu direman empat hari selepas terbabit dalam kejadian merusuh di gerai burger dekat Seksyen 5 Bandar Rinching, Semenyih, pada Khamis.

Ketua Polis Kajang, Zaid Hassan, berkata dalam kejadian 9.45 malam itu, seorang lelaki tempatan dalam keadaan mabuk datang ke gerai burger berkenaan, sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan membaling tin minuman keras ke arah gerai.

Katanya, tindakan itu menyebabkan berlaku perselisihan faham dengan peniaga gerai berkenaan.

“Kejadian menjadi lebih tegang apabila lelaki mabuk itu telah keluarkan senjata pisau serta parang dan cuba menyerang peniaga gerai.

“Ia menyebabkan berlaku rusuhan yang melibatkan campur tangan individu lain bagi meleraikan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat pihak polis segera menahan lelaki itu dan tiga individu lain berumur antara 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Semua mereka direman sehingga esok,” katanya.

Zaid berkata, polis merampas sebilah parang, pisau boleh laras dan topeng kain muka milik lelaki mabuk yang diberkas semasa kejadian.

“Tiada kecederaan serius dalam kejadian ini.”

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh menggunakan senjata di tempat awam, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda atau dengan kedua-duanya, katanya.

Tiada ulasan: