"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melaka bakal bertukar Ketua Menteri?

NOR FARHANA YAACOB

MELAKA - Kerajaan Melaka didakwa bakal bertukar Ketua Menteri baharu pada Jumaat ini.

Malah difahamkan upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri ke-14 itu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama di Ayer Keroh.

Dipercayai jawatan yang dipegang Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selama dua penggal ini bakal diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Media yang menunggu selama tiga jam di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini, bagaimanapun gagal mendapat sebarang pengesahan dan komen daripada Sulaiman.

Setiausaha akhbar, Nasharudin Muhamad memaklumkan ADUN Lendu itu enggan bertemu media dan telah meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber terdekat pejabat Ketua Menteri, memaklumkan setakat ini tiada arahan selanjutnya dan mereka masih menunggu arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Sementara itu, Ab Rauf yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perubahan struktur pentadbiran negeri Melaka.

"Saya tak mahu komen lanjut sehingga ada maklumat seterusnya," katanya ringkas.

Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp mengenai ucapan terima kasih untuk semua jasa yang telah diberikan untuk rakyat negeri Melaka kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Media pada Isnin melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Presiden UMNO itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.

Tiada ulasan: