"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Kuwait jatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Jho Low

Malaysiakini 
Sebuah mahkamah di Kuwait mensabitkan kesalahan ahli perniagaan Low Taek Jho tanpa kehadirannya semalam atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.

Menurut laporan akhbar Kuwait Al-Qabas seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

Mereka juga diarah memulangkan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) selain membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).

Akhbar itu tidak menamakan syeikh tersebut, rakan kongsinya, mahupun peguam berkenaan, tetapi hanya menyebutnya sebagai "dana Malaysia".

Menurut laporan itu, ini adalah kes pengubahan wang haram terbesar. Ia juga mengenal pasti warga asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis Bachar Kiwan.

Sementara itu laman Sarawak Report pula berkata dana Malaysia yang dimaksudkan tersebut ialah 1MDB.

Ia juga menamakan syeikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, yang adalah anak kepada bekas perdana menteri Kuwait. Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

Menurut Al-Qabas, kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

“Sarawak Report dimaklumkan bahawa Kuwait tidak menerima kerjasama yang berguna daripada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh ini dalam usaha mengembalikan berbilion-bilion negara yang dicuri.

“Sarawak Report hanya boleh merumuskan bahawa kegagalan Malaysia untuk bertindak berpunca secara langsung kepada hasrat (bekas perdana menteri Najib Razak) dan sekutu BN yang menyokong kerajaan Muhyiddin (Yassin) untuk menutup bukti lebih lanjut tentang rasuah oleh Najib.

“Kekurangan kerjasama ini nampaknya berterusan sehingga hari ini, menyebabkan pihak berkuasa Kuwait meneruskan kes itu tanpa kerjasama Malaysia dan sememangnya tanpa Malaysia membuat tuntutan sewajarnya terhadap wang berkenaan.

“Sememangnya, laporan media Kuwait hari ini (Selasa) menjelaskan bahawa perkara ini berlaku, membawa kepada kegusaran kepada pihak berkuasa Kuwait mengenai 'kegagalan menerima maklumat daripada pihak antarabangsa' (yang bermaksud kurang kerjasama dari Malaysia),” katanya.

Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low, dan digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

Urus niaga itu dilakukan dalam mata wang China, Yuan untuk mengelak pemeriksaan daripada pihak berkuasa AS yang sedang menyiasat aktivitinya.

Low menafikan salah laku tersebut, tetapi setakat ini tidak mengulas mengenai laporan WSJ itu.

Tahun lalu, Bachar yang berasal dari Kuwait memberitahu Malaysiakini bahawa dia ada menawarkan diri untuk membantu siasatan SPRM.

Low didakwa menggunakan syarikat Bachar, Al Waseet untuk mengubah  wang. Bachar berkata apabila dia enggan bekerjasama, pegawai Kuwait mendakwa dirinya bersama keluarga dan rakan kongsinya, sehingga memaksa dia melarikan diri dari negara itu ke Perancis.

Bachar berkata dia percaya bahawa dana itu adalah komisen yang diterima Low daripada firma China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di Malaysia.

Tiada ulasan: