"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rauf dijangka angkat sumpah Ketua Menteri

SHAFIQAH MUKHSIN

Selepas pelbagai khabar angin melanda, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan bakal meletakkan jawatan esok.

Difahamkan, keputusan itu susulan pertemuan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam lapor Berita Harian.

Selepas isu pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali menjadi bualan, nama Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik Ketua Menteri baharu.

Isu pertukaran pemimpin negeri ini mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka yang diadakan pada 20 November 2021.

Sumber dalaman UMNO Melaka, memaklumkan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 dijangka berlangsung Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Ab Rauf ketika dihubungi, enggan mengulas sehingga ada pengesahan rasmi daripada pucuk pimpinan UMNO.

“Dah ada pengesahan rasmi ke? Saya tak mahu ulas apa-apa sehingga dapat makluman rasmi nanti,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Sulaiman pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat EXCO negeri di pejabatnya di Seri Negeri sebelum mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pegawainya.

Beliau turut dijadual menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka yang dijangka lewat petang ini.

Ini adalah untuk membincangkan beberapa isu termasuk kontroversi mengenai pemilihan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu baru-baru ini.

Isu UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkaitan kemenangan ketuanya yang baharu, Datuk Rais Yasin yang pada mulanya diumumkan tidak sah oleh pimpinan bahagian, namun Ahmad Zahid kemudian mengumumkan sebaliknya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.

Beliau dilaporkan berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, negeri itu masih belum lagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Tiada ulasan: