Khalid Abd Samad
YAB Datuk Seri (Perdana Menteri Anwar Ibrahim), pada mulanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas prestasi ekonomi negara yang telah berjaya ditangani dengan baik sepertimana dilaporkan oleh Bank Negara dan agensi-agensi bebas antarabangsa.
Pengurusan ekonomi diperingkat makro agak mengkagumkan di mana pertumbuhan, kadar inflasi serta pengangguran berada di kadar yang sangat memuaskan.
Begitu juga saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas kemenangan calon perpaduan di Nenggiri. Semoga ini petanda ‘gelombang’ hijau telah berakhir dan berubah menjadi hanya tempias.
Namun demikian, di sebalik kejayaan-kejayaan ini perlu saya tarik perhatian YAB kepada peristiwa di peringkat ‘mikro’ di mana satu ‘kemungkaran’ sedang berlaku.
Ini adalah berhubung pampasan untuk golongan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.
Pihak Jawatan Kuasa Bertindak Kampung Sungai Baru telah mengutus satu surat terbuka kepada YAB, memohon campur tangan YAB untuk menjamin keadilan untuk mereka.
Ini adalah kerana pampasan yang diterima hasil dari penilaian oleh jabatan kerajaan adalah terlalu rendah dan tidak masuk akal.
Surat terbuka jawatan kuasa bertindak tersebut telah mengemukakan segala bukti dan hujah mengapa penilaian tersebut adalah terlalu rendah dan tidak perlu saya ulangi bukti dan hujah itu di sini.
Yang ingin saya nyatakan adalah rayuan mereka seolah-olah tidak diindahkan atau dipeduli dan hingga hari ini kerajaan pimpinan YAB telah gagal menjelaskan mengapa penilaian itu dianggap adil dan berpatutan oleh pihak Kerajaan, sekiranya itulah pendirian Kerajaan YAB.
Dalam soal ini YAB tidak boleh melepas tangan kerana penilaian yang dibuat adalah oleh sebuah jabatan kerajaan di bawah YAB walaupun ianya telah dibuat pada zaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu.
Berhak tolak atau terima
Amat jelas dalam kes ini mereka menzalimi minoriti pemilik yang kesemuanya Melayu semata-mata kerana tidak menerima tawaran awal pemaju.
Sedangkan itu adalah hak mereka untuk sama ada menolak atau menerima tawaran tersebut.
Malangnya, Kerajaan YAB seolah-olah tidak memahami isu yang perlu ditangani kerana asyik menjawab dengan alasan “kami ikut majoriti”.
Sedangkan itu bukan isunya. Tiada siapa menghalang kehendak majoriti yang inginkan projek berkenaan dijalankan.
Semua akur dengan kehendak majoriti, namun hak minoriti untuk mendapat pampasan yang adil dan munasabah perlu juga diiktiraf dan dipenuhi.
Sekiranya pihak kerajaan YAB beranggapan penilaian tersebut adalah adil dan “fair value”, maka kemukakan hujah dan bukti dan tak perlu berselindung di sebalik alasan “kami ikut majoriti”.
Golongan majoriti yang telah menerima tawaran pemaju telah mendapat aset hartanah gantian berasaskan penilaian RM1,500 – RM1,800 sekaki persegi untuk rumah dan tanah mereka.
Pemaju telah tawarkan asset gantian berdasarkan penilaian ini kerana pemaju memahami bahawa itulah nilai sebenarnya.
Sekiranya golongan majoriti mendapat penilaian sebegini, maka adakah wajar golongan minoriti ditawarkan pampasan sepertiga daripada itu? Ini isu utamanya di sini.
Begitu juga dengan jawapan “pergilah ke mahkamah”, sedangkan mahkamah akan dipandu dengan penilaian yang dibuat oleh jabatan kerajaan. Atau jawapan “rundinglah dengan pemaju!”
Mana mungkin pemaju akan menolak harga rendah yang ditetapkan kerajaan?
YAB dikenali sebagai seorang pejuang yang sanggup berjuang untuk mengubah tatacara dunia supaya keadilan tertegak.
Saya ingin sebutkan di sini bahawa keadilan di Kampung Sungai Baru tidak tertegak dan oleh itu saya merayu supaya YAB bertindak menjamin keadilan dan membenteras kemungkaran yang sedang berlaku.
Saya yakin YAB memahami penilaiannya terlalu rendah dan oleh itu perbetulkanlah walaupun terpaksa campur tangan, demi menegakkan keadilan.
Mangsa kemungkaran ini, iaitu golongan minoriti, terdiri daripada 72 keluarga pemilik flat dan 37 keluarga pemilik rumah teres, kesemuanya golongan bumiputera.
Di sini YAB boleh secara mudah membela nasib bumiputera dengan memberikan mereka keadilan melalui pampasan yang bakal diterima mereka.
Rasulullah (SAW) pernah bersabda, maksudnya, “sesiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah mengubahkannya dengan tangannya, dan sekiranya tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan sekiranya tidak mampu, maka dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.”
PM ada kuasa
Saya tidak mempunyai kuasa dan oleh itu hanya mampu menentang kemungkaran ini dengan lidah saya.
Akan tetapi YAB mempunyai kuasa dan mampu mengubah kemungkaran ini dengan tangan atau kuasa yang ada pada YAB.
Saya telah lama mengikuti perjuangan YAB, dari sejak tahun 70an. Walaupun tidak semestinya bersetuju dengan setiap yang dilakukan namun saya percaya YAB inginkan keadilan untuk semua dan akan membenteras kezaliman.
Namun, sikap membisu kerajaan YAB dalam kes Kampung Sungai baru amat mengecewakan. Saya faham YAB sendiri sibuk dengan persoalan-persoalan yang jauh lebih besar, yang melibatkan bangsa, negara malahan ummat dan dunia.
Tetapi sekiranya kes Kampung Sungai Baru yang kezalimannya terang lagi bersuluh tidak ditangani, bagaimana persoalan-persoalan yang lebih besar akan dapat diselesaikan.
Ia hanya memerlukan arahan dari YAB supaya penilaian yang adil dilakukan dan keadilan dijamin untuk golongan yang tidak bersetuju dengan tawaran pemaju kerana inginkan pampasan disegerakan.
Sekiranya dikeluarkan arahan, pemaju mana yang akan ingkar arahan seorang perdana menteri? Lebih-lebih lagi sekiranya arahan itu adalah adil dan saksama.
Ada yang tak kena di Sg Baru
Kalau tidak maka beruntung sangat-sangatlah pihak pemaju, kerana mendapat tanah golongan minoriti ini dengan satu pertiga nilai sebenar. Pemaju akan mendapat penjimatan ratusan juta.
Kalau itu dibenarkan berlaku maka saya ungkapkan kata-kata karyawan Shakespeare yang sering diungkap YAB sendiri, iaitu “something is rotten in the state of Denmark”.
Atau dalam kes ini, “something is rotten in Kampung Sungai Baru”. Dalam ertikata lain, ada ketidakadilan yang sedang berlaku, sama ada atas sebab rasuah atau sikap indah tak indah, acuh tak acuh dan ketidakadilan ini perlu segera ditamatkan.
Tidak perlu dipertahankan dan diteruskan kezaliman kerajaan Perikatan Nasional.
Saya telah bersuara menentang kezaliman ini di parlimen semasa Tan Sri Anuar Musa menjadi menteri Wilayah Persekutuan dan semasa Datuk Seri Shahidan Kassim mengambil alih kementerian tersebut daripadanya.
Saya anggap YAB berbeza daripada mereka. Saya yakin anggapan saya tidak meleset.
Semoga YAB sentiasa dilindungi dan diberikan petunjuk oleh Allah kepada yang lebih diredhaiNya.
Sekian, Sahabatmu dalam Islam.
KHALID ABD SAMAD pengarah komunikasi Amanah dan juga bekas menteri Wilayah Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan