"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes warga asing bunuh isteri, anak di Kedah: Suspek sempat minta imam rukyah anak dakwa dirasuk

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

LELAKI warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya, semalam. FOTO Bernama
Alor Setar: "Lelaki itu (suspek) datang meminta supaya rukyahkan anaknya kerana mendakwa kanak-kanak itu dirasuk hingga menyebabkan perutnya buncit," kata Mohd Fauzi Bakar yang juga imam Masjid Al-Hidayah di Bukit Pinang dekat sini.

Mohd Fauzi memberi reaksi itu ketika menceritakan kejadian dia didatangi lelaki warga asing dipercayai etnik Rohingya sebelum ditahan di masjid itu kerana disyaki membunuh isteri serta anaknya di pekan Simpang Kuala, malam tadi.

Dia bersama beberapa jemaah lain pada mulanya melihat lelaki itu di tangga masjid ketika mereka keluar dari pintu utama selepas solat isyak.

"Sebaik melihat kami keluar dari masjid, dia terus menghampiri saya bersama seorang anak lelakinya.

"Dia kemudian meminta tolong kerana mendakwa anaknya itu dirasuk dan berikutan kejadian itu, perut anaknya dikatakan menjadi buncit," katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.

Menurutnya, ketika itu cuaca hujan dan dia bersama beberapa jemaah lagi tergesa-gesa untuk memenuhi jemputan sebuah rumah yang mengadakan kenduri tahlil.

Katanya, apabila lelaki itu berkata demikian, dia memegang kepala anaknya lalu membacakan surah al-Fatihah selain ayat-ayat suci al-Quran.

"Tak lama selepas itu, anggota polis datang dan terus memberkas lelaki berkenaan.

"Ketika itu, saya tak tahu apa yang berlaku hinggalah individu lain memaklumkan lelaki warga asing itu terbabit dalam kes bunuh," katanya.

Mohd Fauzi berkata, lelaki itu datang dalam keadaan berbaju dan berkain pelekat ketika bertemunya.

Katanya, dia tidak mengetahui polis sudah menemukan mayat isteri dan anaknya malah kes itu sudah tular di media sosial.

"Sebelum dia (suspek) ditahan, lelaki itu sempat juga memohon untuk tidur di masjid.

"Dia memberi alasan kalau dapat tidur di pekarangan masjid pun tak mengapa tetapi dia minta supaya dibukakan lampu," katanya.

Katanya, dia kemudiannya meninggalkan masjid dan tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana menganggap segala-galanya selesai berikutan kedatangan polis.

"Selepas polis menahan suspek, saya bersama jemaah lain terus memenuhi undangan kenduri di kawasan berhampiran. Selepas itu, saya tak tahu apa yang berlaku," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, lelaki warga asing berusia 43 tahun itu ditahan polis jam 9 malam di Masjid Bukit Pinang, Kepala Batas, di sini kerana dipercayai membunuh isteri dan anaknya berusia 10 tahun.

Mayat dua beranak itu ditemukan dalam longkang dalam keadaan tertiarap dan terlentang dengan kesan kelar di leher di belakang bangunan terbiar, berhampiran Pekan Simpang Kuala dipercayai dibunuh suspek.

Tiada ulasan: