LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
Suzana (kanan) membantu suaminya menggunakan peralatan spirometer untuk melihat keupayaan bernafas ketika ditemui di rumah pasangan itu di Batu 14, Lekir, Sitiawan semalam.
MANJUNG – “Saya tidak tahu apa yang berlaku, sebaik sahaja tersedar, saya sudah berada di hospital dan dada ditebuk.”
Itu pengalaman yang dilalui pekerja kilang sawit, Mohd. Azlan Abd. Rashid, 41, yang kini terlantar selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke tabika di Batu 10, Lekir di sini pada 25 Julai lalu.
Kejadian pada pukul 7.45 pagi itu berlaku ketika Mohd. Azlan mahu memasuki simpang di lokasi tersebut. Berdasarkan cerita saksi sebuah motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak ketika lelaki itu membelok masuk simpang.
“Akibat kemalangan itu, saya dan anak bongsu (Suffiya Nur Aira) berusia enam tahun tercampak sehingga mengalami kecederaan parah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14, Lekir semalam.
Terdahulu, lelaki itu menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Manjung diketuai pengurusnya, Mohd. Shaperi Md. Salleh.
Cerita Mohd. Azlan, ekoran kejadian itu, tiga tulang rusuk, tulang selangka dan tengkuk kecilnya patah.
Tulang rahang dan tulang kening juga patah selain menerima berbelas jahitan akibat kemalangan tersebut.
“Saya dimaklumkan oleh doktor bahawa dada ditebuk kerana paras oksigen menurun sehingga 78 peratus selain mengeluarkan darah. Namun saya bersyukur kerana anak hanya cedera ringan,” katanya.
Mohd. Azlan berkata, dia kini terlantar dan tidak berupaya untuk bangun melebihi lima minit.
“Insya-Allah saya percaya saya mampu untuk pulih seperti sedia kala tidak lama lagi. Terima kasih kepada isteri (Suzana Hamdan) yang mengambil cuti tanpa gaji sebagai pembantu tukang masak semata-mata untuk menjaga saya di rumah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Shaperi memberitahu, Mohd. Azlan yang mencarum Perkeso layak untuk menerima faedah hilang upaya sepanjang dia terlantar di rumah. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Suzana di talian 011-3556 5114.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan