Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI penemuan mayat dua beranak di sebuah rumah di Taman Indah, Sungai Abong. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Misteri rumah bergelap selain sunyi sepi membongkarkan penemuan mayat dua beranak dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di Taman Indah, Sungai Abong, di sini, semalam.
Mayat dua beranak dipercayai berusia 40-an dan 70-an itu ditemui oleh sebuah pertubuhan kebajikan (NGO) yang dipanggil penduduk selepas curiga terhadap kelibat mereka tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, mayat dua beranak itu ditemui kira-kira jam 12 tengahari dengan bapanya ditemukan dalam bilik air manakala anak lelakinya di atas sofa.
Pada masa sama, seorang lagi anaknya, wanita berusia lingkungan 40-an yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui selamat namun dalam keadaan tidak bermaya.
Tiga beranak itu menetap di rumah terbabit sejak sekian lama selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu, dengan kedua-dua anaknya dikategorikan OKU lembam.
Jiran yang enggan dikenali berkata, pada hari penemuan itu, mereka pelik apabila rumahnya bergelap lalu meminta bantuan NGO untuk memeriksanya.
"Penduduk memanggil NGO terbabit kerana mereka selalu datang ke sini menghantar bantuan memandangkan bapanya tidak bekerja.
"Dua anaknya pula, masing-masing lelaki dan perempuan adalah OKU dan dijaga sepenuhnya oleh bapa mereka.
"Apabila pintu dibuka, mereka melihat anaknya lelakinya terbaring atas sofa manakala anak perempuannya dalam keadaan tidak bermaya dipercayai kelaparan," katanya.
Katanya, NGO dan penduduk taman itu kemudian menghubungi polis bagi mendapat bantuan selanjutnya.
Menurutnya lagi, ketika polis memasuki rumah, mereka menemui mayat bapanya dalam bilik air," katanya ketika ditemui.
Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mereka sementara seorang lagi dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan