BHarianonline
Asap kelihatan berkepul dari Kfarhamam, di tengah-tengah permusuhan rentas sempadan antara Hizbullah dan tentera Israel, seperti yang digambarkan dari Marjayoun, berhampiran sempadan dengan Israel, Lubnan 17 Ogos 2024. - Foto REUTERS
LUBNAN: Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran di Lubnan berkata pihaknya melancarkan beberapa roket salvo yang mensasarkan tentera Israel di Dataran Tinggi Golan hari ini.
Serangan itu dilakukan sebagai tindak balas" kepada serangan Israel di timur Lubnan pada hari sebelumnya.
Pejuang Hizbullah melancarkan "serangan roket" ke dua kedudukan tentera Israel di Dataran Tinggi Golan yang diduduki "sebagai tindak balas terhadap serangan musuh Israel di Lembah Bekaa.
Menurut sumber yang rapat dengan Hizbullah, serangan itu disasarkan ke gudang senjata di kawasan timur.
Tentera Israel mengesahkan bahawa kira-kira 55 peluru berpandu dikesan melintasi dari wilayah Lubnan.
"Beberapa peluru berpandu berjaya dipintas manakala yang selebihnya jatuh di kawasan terbuka. Tiada kecederaan dilaporkan," menurut tentera zionis Israel dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beberapa roket turut menjadi punca kepada kebakaran.
Tentera berkata pasukannya menyerang salah satu pelancar atau sistem dari mana roket berkenaan itu dilancarkan.
Serangan Israel itu berlaku selepas seorang askar di bahagian utara terbunuh akibat tembakan Hizbullah, sekaligus menjadi kematian terbaru dalam siri berbalas tembakan merentas sempadan selama 10 bulan antara kedua-dua kumpulan itu.
Keganasan itu mengorbankan 585 nyawa di Lubnan, kebanyakannya pejuang Hizbullah serta sekurang-kurangnya 128 orang awam, menurut kiraan AFP.
Di pihak Israel, termasuk di Dataran Tinggi Golan yang dinyatakan terdapat sebanyak 23 askar dan 26 orang awam terbunuh, menurut angka tentera.
Kebimbangan meningkat sejak Hizbullah dan Iran berikrar untuk bertindak balas selepas serangan Israel di Beirut bulan lalu yang mengorbankan Komander Kanannya, Fuad Shukr.
Tidak lama selepas itu, berlaku serangan di Tehran yang didakwa dilakukan oleh Israel sehingga menyebabkan kematian pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan