FMT Reporters
Mayat kanak-kanak itu ditemukan di Pantai Leman, Kuala Kedah, mempunyai kesan kelar seperti dialami ibu dan kakaknya.
PETALING JAYA: Mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan dua tahun disyaki dikelar suspek warga asing ditemukan hari ini di Pantai Leman, Kuala Kedah, susulan penemuan dua beranak berusia 34 dan 10 tahun semalam.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata mayat itu ditemukan terdampar oleh orang awam yang berada di pantai itu sekitar 12 tengah hari tadi.
Katanya, keadaan fizikal mangsa sempurna, namun terdapat kesan kelar di leher sama dialami dua beranak, yang mayat mereka ditemukan di belakang sebuah bangunan kosong berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, semalam.
“Polis sedang membuat pengesahan identiti mayat kanak-kanak terbabit, namun berdasarkan siasatan kita tidak menolak kemungkinan mangsa adalah anak bongsu suspek yang turut dibunuh pada Ahad lalu.
Ini kerana suspek memang memiliki tiga anak dan salah seorang daripadanya belum ditemukan sebelum ini, suspek dipercayai membuang mangsa ke dalam longkang di Jalan Pegawai iaitu kira-kira 2km dari lokasi pembunuhan sebelum hanyut ke laut, katanya menurut Utusan Malaysia pada sidang media di Alor Setar.
Adzli berkata, seorang lagi anak lelaki suspek berusia lima tahun berjaya diselamatkan polis ketika lelaki itu diberkas malam tadi.
Suspek berusia 43 tahun ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, Alor Setar, 9.20 malam tadi dan kini direman seminggu bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa warga asing berusia 34 dan 10 tahun itu yang merupakan isteri dan anak suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan