KOSMO
Pergaduhan itu membabitkan dua kumpulan remaja. - Khaosod
BANGKOK – Pergaduhan antara dua kumpulan remaja di sebatang jalan di wilayah Samut Prakan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk serta mengakibatkan sebuah motosikal rosak, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Berdasarkan sebuah video yang dikongsikan pengguna Facebook bernama Maem, dua kumpulan remaja tersebut menaiki motosikal sebelum bergaduh di satu lokasi pusingan U di Phraeksa.
Menurut Maem, dalam kejadian pukul 2 petang (waktu tempatan) semalam, dia melihat dua kumpulan remaja terlibat dengan salah satu daripadanya memakai uniform sekolah.
Salah seorang daripada ahli kumpulan terbabit dilihat membawa pisau sebelum mereka menyerang kumpulan remaja berbaju sekolah yang turut menunggang motosikal.
Salah sebuah motosikal dirosakkan menggunakan kayu selepas ia ditinggalkan oleh kumpulan yang melarikan diri.
Maem berkata, selepas kira-kira 20 minit kemudian iaitu setelah dia mengambil anaknya dari sekolah, dia melihat beberapa anggota polis tiba di tempat kejadian.
Pelajar yang cedera dilihat berada bersama pegawai polis.
“Remaja-remaja itu kelihatan nekad untuk mendatangkan bahaya dan bertindak agresif.
“Insiden itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Tiada sesiapa berani campur tangan kerana mereka bersenjata walaupun ramai yang membunyikan hon sebagai tanda tidak bersetuju dengan tindakan itu,” kata Maem. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan