Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
KUALA LUMPUR: Lima lelaki Myanmar disyaki ejen kegiatan penyeludupan migran ditahan bersama 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warganegara sama dalam serbuan di sekitar Cheras dan Kajang, semalam.
Tangkapan dilakukan susulan serbuan ke atas empat kediaman di unit pangsapuri yang dijadikan sebagai lokasi transit PATI masing-masing dua di Cheras dan Kajang sekitar jam 10.35 malam tadi.
Serbuan dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman susulan maklumat dan risikan, dengan tumpuan kepada kegiatan membawa masuk migran melalui jalan tidak diwartakan, selain ejen yang terbabit penyeludupan.
Ketua Penolong Bahagian D3 ATIPSOM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata siasatan awal mendapati semua 24 migran Myanmar termasuk dua wanita berusia antara 18 hingga 36 tahun ditempatkan dalam empat kediaman diserbu itu sejak dua minggu lalu.
Anggota polis memeriksa PATI warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan di salah sebuah lokasi transit migran di sekitar Lembah Klang. - Foto ihsan polis
"Mereka disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan darat dari Pantai Timur selepas membayar antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang kepada ejen warga Myanmar terbabit," katanya kepada BH.
Soffian berkata, pada masa ini pihaknya masih mengenal pasti tujuan dan destinasi sebenar migran Myanmar ini akan dibawa.
"Daripada siasatan kita dapati semua lima ejen ditahan menjalankan aktiviti menyeludup masuk migran sejak tiga bulan lalu.
"Pihak kami juga masih menyiasat jumlah kemasukan migran hasil kegiatan ini, selain mengenal pasti lokasi keberadaan mereka ketika ini," katanya.
Semua lima lelaki yang bertindak sebagai ejen berusia antara 27 hingga 30 tahun kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 24 migran Myanmar yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan